Monday, November 12, 2012


Yassiru walaa tu'assiru. Permudahkan dan jangan kau susahkan

Alhamdulillah, semalam telah datang satu keluarga atas tujuan meminang adik saya. Adik saya yang dipinang masih lagi di dalam pembelajaran di UIA. Kedatangan mereka memang bersahaja, tanpa sebarang dulang hantaran atau sebagainya. Mungkin kerana ini kali pertama.

Mereka memulakan bicara: "Kami ni sebenarnya memang tak ada pengalaman langsung meminang. Maklumlah ini pun anak sulung kami. Jadi kali pertama la ni, tak tau nak cakap macam mana."

Ibu pun menjawab: "Tak mengapa. Yang penting bagi saya kita buat berlandaskan syariat Islam. Apa yang penting dan wajib. Tak perlulah kita nak terlebih beradat sangat. Keluarga awak datang ni pun dah kira beradat."

Mereka berkata lagi: "Baguslah kalau macam tu. Tapi nak beritahu yang anak kami ni baru je dapat kerja."

Ibu menjawab: "Tak apa. Cukup beri (hantaran) sekadar yang mampu. Itu biar mereka sendiri yang bincang nanti. Cuma satu yang saya minta, lepas dah kahwin, anak saya akan terus dapat habiskan pelajarannya di universiti."

Mereka pula berkata: "Itu yang kami risaukan sebab anak puan masih belajar lagi. Takut terganggu pelajarannya."

Ibu berkata: "Tak apa. Saya lebih risaukan mereka kot-kot nanti terbuat benda yang bukan-bukan. Jadi biarlah mereka dapat diikat dengan ikatan yang halal. Tak adalah benda yang kita nak risaukan lagi."

Mereka berkata lagi: "Tapi maaflah kami datang ni tak ada bawa dulang ke atau apa-apa."

Ibu berkata: "Tak apa. Dengan saya simple sahaja insyaAllah. Asalkan tujuan kita tercapai dan yang penting insyaAllah mereka dapat disatukan. Lagi satu permintaan saya, kalau boleh saya tak mahu mereka bertunang lama-lama, sebaiknya kita segerakan pernikahan mereka. Saya cadangkan dalam bulan Mac tahun depan."

Akhirnya kedua-dua keluarga mencapai kata sepakat dan adik kami telah pun ditunangkan dengan pilihannya.
..................................................................................

Moralnya, hendak berdulang atau tidak, itu tidak menjadi masalah. Yang utama adalah menegakkan yang wajib. Ilmuwan Islam sudah ramai yang membahaskan isu hantaran sama ada ia adalah wajar atau adakah ianya bid'ah. Secara peribadi, saya memilih pandangan yang mengatakan bahawa Islam mengiktiraf adat sesuatu kaum sebagaimana Nabi SAW pernah berkata kepada A'isyah:

يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَإِنَّ الْأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمْ اللَّهْوُ
"Wahai A'isyah, apakah tidak ada hiburan, sebab orang-orang Ansar senang akan hiburan?"
(Sahih Bukhari)

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW mengiktiraf adat sesuatu kaum itu. Maka hantaran yang juga merupakan adat bagi bangsa ini adalah tidak wajar untuk dikatakan sebagai haram atau bid'ah. Cumanya yang akan menjadikan ia bid'ah atau perbuatan tercela adalah apabila oleh kerana hantaran atau apa-apa adat yang menyusahkan itu menjadikan pernikahan itu terpaksa ditangguhkan. Maka perbuatan ini adalah ditegah!

Contohnya jika si lelaki hanya ada RM4,000 sebagai hantaran dan keluarga perempuan pula meminta lebih. Si lelaki kata kalau nak lebih, saya terpaksa tangguhkan sampai duit saya cukup. Maka inilah yang dikatakan sebagai bid'ah disebabkan oleh perkara yang menyusahkan sampai tertangguhnya pernikahan.

Hantaran juga wajar dilihat sebagai pemberian ikhlas. Maka adalah sangat tidak wajar apa yang diamalkan seperti meletakkan harga si perempuan. Bahkan terdapat sesetengah ahli ilmu yang mengatakan perbuatan itu sebagai memeras ugut di lelaki! Sebaiknya adalah menerima apa yang hendak diberikan oleh si lelaki kerana ia menunjukkan itulah kemampuannya dan keikhlasannya. Tiada guna akibat kerakusan atau keegoaan demi menjaga jenama keluarga, sehingga terjebak ke dalam kancah hutang yang boleh menjerat diri! Kahwin pun bukan untuk satu hari.

Keduanya, permudahkanlah urusan kerana Islam itu datang sebagai membawa rahmat kepada sekalian alam sebagaimana yang dijelaskan di dalam firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
(Surah al-Anbiyaa' 21:107)

Islam telah mengajarkan akad pernikahan yang sangat mudah sebagai satu rahmat kepada manusia bagi menyatukan pasangan lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin. Oleh itu adalah tidak wajar apabila perkara yang sangat mudah ini disusah-susahkan dengan pelbagai perkara dan kerenah. Apabila perkara sebegini berlaku, maka kuranglah keberkatan dan rahmat.

Jika ada pasangan yang ingin bernikah, permudahkanlah usaha mereka. Bantu mereka dan bimbinglah! Majlis merisik, bertunang atau kahwin atau apa majlis yang hendak diadakan sekalipun, permudahkanlah! Jangan ditakutkan atau dibebankan dengan pelbagai perkara. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

يسروا ولا تعسروا ، وبشروا ولا تنفروا
"Senangkanlah (permudahkanlah) dan jangan susahkan dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk (membuatkan orang lari daripadamu)."
(Muttafaqun 'alaih)

Wallahu a’lam.
..................................................................................
Rujukan:
  1. Hadith: http://mukhtarulhadith.blogspot.com
  2. Hadith: http://www.manhal.pmram.org/2011/01/perbahasan-hukum-menyanyi-dan.html