Tuesday, October 16, 2012


Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara

Nabi SAW bersabda:

يوشك أن تدعي عليكم الأمم كما تداعي الأكلة الى قصعتها. فقال قائل : أو من قلة يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينز عن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن في قلوبكم الوهن. قال قائل :يا رسول الله وما الوهن؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت.
“Akan tiba saatnya di mana kamu akan dikerumuni (diserbu) oleh umat-umat lain (musuh-musuh dari pelbagai sudut) sebagaimana orang-orang yang sedang makan menghadapi hidangannya. Bertanya salah seorang daripada mereka : Adakah kerana bilangan kami pada masa itu sedikit wahai Rasulullah? Jawab Baginda : Bahkan kamu pada hari itu banyak. Tetapi kamu adalah kosong dan hanyut seperti buih-buih. Dan Allah akan mencabut daripada musuh-musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, dan Dia menanam (mencampakkan) pula ke dalam hati-hati kamu –penyakit- al-wahn. Bertanya salah seorang daripada mereka : wahai Rasulullah apakah al wahn itu? Jawab Baginda : Cintakan dunia dan bencikan mati.” 
(Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Populasi umat Islam pada hari ini dianggarkan adalah sebanyak 2.1 billion. Akan tetapi lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini, berpecah-pecah, berpuak dan tidak berganding bahu membantu satu sama lain. Lihat sahaja bagaimana umat Islam yang diratah oleh tentera-tentera kafir! Berapa ramai antara kita yang peduli? Bahkan kita mendengar ada orang yang berkata, “Yang penting negara kita aman, tak usah peduli tempat lain.” Adakah ini sikap seorang muslim? Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara sebagaimana firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” 
(Surah al-Hujuraat 49:10)

Apakah sikap sebenar persaudaraan di dalam Islam? Ia adalah apabila saudara kita dalam kelaparan, kita berkongsi makanan dengannya... Ia adalah apabila saudara kita bergaduhan maka kita cuba mendamaikannya... Ia adalah apabila kita melihat saudara kita dizalimi, kita membantunya. Inilah yang bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله لا تحاسدوا ولا تناجشوا ولا تباغضوا، ولا يبع بعضكم على بيع بعض، وكونوا عباد الله إخوانا، المسلم أخو المسلم، لا يظلمه ولا يخذله، ولا يكذبه، ولا يحقره، التقوى ههنا، ويشير إلى صدره ثلاث مرات بحسب امرئ من الشر أن يحقر أخاه المسلم، المسلم على المسلم حرام دمه، وماله، وعرضه -رواه مسلم. 
"Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."
(Riwayat Muslim)

Perhatikanlah bagaimanakah keadaan umat Islam hari ini?

Usaha memboikot produk luar yang menyokong penindasan oleh zionis juga terkandas separuh jalan. Kerana apa? Kerana kita tidak cukup bersedih mengenangkan nasib saudara-saudara muslim kita yang ditindas. Kita masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa di kala anak-anak muslim di sana disembelih, perempuan-perempuan dirogol dan para lelaki mereka dibunuh dengan kejam!

Sumber: net
Umat Islam hari ini banyak disibukkan dengan percakaran kerana isu-isu remeh, atau isu-isu yang tidak membantu kepada perpaduan ummah. Wahai saudaraku, bersama-samalah kita mempertingkatkan perpaduan sesama kita. Hentikan percanggahan yang tidak membawa manfaat. Kasih mengasihi sesama saudara muslim kita dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Sebelum saya menutup kalam hari ini, marilah bersama kita hayati video di bawah ini.



-Artikel asal ditulis untuk satu program dakwah di bawah tajuk 'Persaudaraan Muslim'.
..................................................................................
Rujukan: