Friday, August 3, 2012


Ayat-ayat al-Quran berkenaan pengharaman arak


Allah SWT telah menurunkan beberapa ayat al-Quran berkenaan arak secara berperingkat sebelum ia diharamkan terus secara mutlak sehingga ke hari ini.

Ayat pertama:

وَمِن ثَمَرَٲتِ ٱلنَّخِيلِ وَٱلۡأَعۡنَـٰبِ تَتَّخِذُونَ مِنۡهُ سَڪَرً۬ا وَرِزۡقًا حَسَنًا‌
Maksudnya: "Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik."
(Surah an-Nahl 16:67)

Ayat ini diturunkan di Mekah. Dilaporkan umat Islam pada era permulaan Islam meminum arak dan pada ketika itu arak adalah halal kepada mereka.

Ayat kedua:

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ‌ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٌ۬ ڪَبِيرٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَڪۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَا‌
Maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar (arak) dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya'."
(Surah al-Baqarah 2:219)

Ayat ini diturunkan di Madinah. Abu Hurairah berkata: "Khamar (arak) diharamkan dalam 3 peringkat. Ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, para sahabat Nabi masih minum arak dan makan harta dari hasil perjudian. Lantas mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai keduanya, maka Allah SWT menurunkan ayat di atas kepada baginda."

Orang pun berkata: "Kedua-duanya tidak diharamkan kepada kita kerana Allah hanya berkata: 'Pada keduanya itu terdapat dosa besar..' Oleh sebab itu, mereka masih minum arak sehingga pada suatu hari, seorang lelaki muhajirin mengimami solat pada solat Maghrib, lalu terjadi kecelaruan dalam pembacaannya.
[Diriwayat oleh Ahmad bin Hanbal]

Menurut Tafsir Ibn Kathir, dilaporkan Umar al-Khattab berkata: "Al-Khamr itu termasuk apa sahaja yang memabukkan/mengkhayalkan minda."

Mengenai manfaat dari keduanya, ia dikatakan dapat memberi kebaikan kepada badan, mengkhadam makanan, menggembirakan hati dan membawa manfaat kepada keuntungan dari hasil penjualannya. Akan tetapi Allah SWT berkata bahawa dosa keduanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Malahan ia turut memberi keburukan kepada minda dan juga agama.

Dilaporkan lagi di dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn Umar, Ash-Sha`bi, Mujahid, Qatadah, Ar-Rabi bin Anas and Abdur-Rahman bin Aslam menyatakan bahawa ini adalah ayat pertama yang diturunkan mengenai arak. Kemudian ayat 43 dari surah an-Nisa' dan seterusnya ayat 90 dari surah al-Maidah (ayat pengharaman arak).

Nota: Mungkin apa yang dimaksudkan oleh mereka ini adalah ini ayat pertama berkenaan pengharaman arak.

Ayat ketiga:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡرَبُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُواْ مَا تَقُولُونَ
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan..."
(Surah an-Nisaa' 4:43)

Allah SWT menurunkan ayat ini yang lebih keras lagi apabila berlakunya kecelaruan dalam pembacaan al-Quran akibat mabuk. Dilaporkan bahawa Ali bin Abi Talib berkata bahawa: "Abdul Rahman bin Auf membuat jamuan lalu mengajak kami untuk makan dan kami pun minum khamar pada masa tersebut sehingga mabuk. Kemudian waktu solat tiba dan mereka menolakku ke hadapan sebagai imam. Aku pun membaca:

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ وَنَحنُ نَعبُدُ مَا تَعبُدُونَ
Maksudnya: "Katakanlah wahai orang kafir, aku tidak menyembah kepada apa yang kami sembah dan kami menyembah apa yang kamu sembah."

Akibat daripada kecelaruan ayat di atas yang mana sepatutnya ia adalah:

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ

maka Allah pun menurunkan ayat di atas tadi (an-Nisaa' 4:43).
[Diriwayat oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim. at-Tirmidzi mengatakan ia hasan gharib sahih.]

Ayat keempat:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٲوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِى ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ‌ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَہُونَ
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)."
(Surah al-Maidah 5:90-91)

Saad bin Abi Waqqas menceritakan kepada anaknya Mus'ab bahawa ayat ini turun berkenaan dengannya. Dia berkata: "Pada suatu hari aku didatangi beberapa orang dari kalangan muhajirin dan dan ansar." Mereka berkata: "Mari sini, kami berikan kamu makan dan minum arak."

Hal itu berlaku sebelum pengharaman arak. Dia berkata lagi: "Lalu aku datang kepada mereka di sebuah kebun, dan pada mereka terpanggang kepala kambing serta tersedia bejana daripada arak." Beliau menceritakan lagi: "Aku pun makan dan minum bersama mereka. Pada masa itu aku menyebut-nyebut berkenaan dengan ansar dan muhajirin dengan mengatakan orang muhajirin lebih mulia daripada orang ansar." Beliau berkata lagi: "Lalu seorang lelaki menarik janggutku dan memukul mukaku sehingga hidungku berdarah. Lalu aku datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan perkara itu, maka Allah menurunkan ayat 90-91 di atas yang menerangkan berkenaan diriku dalam perkara pengharaman arak."
[Diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad]

Selepas turunnya ayat ini, maka arak telah diharamkan secara mutlak sehinggalah ke hari ini.

Terdapat lagi satu riwayat bahawa Umar al-Khattab berkata: "Ya Allah, jelaskan kepada kami mengenai khamar dengan sejelas-jelasnya." Lalu turun ayat 219 dari surah al-Baqarah. Lantas Umar dipanggil dan dibacakan ayat ini kepadanya. Umar pun berkata lagi: "Ya Allah, terangkan kepada kami mengenai khamar dengan sejelas-jelasnya." Lalu turun ayat 43 dari surah an-Nisaa'.

Umar pun dipanggil dan dibacakan kepadanya, kemudian Umar berkata lagi: "Ya Allah SWT, jelaskan kepada kami mengenai khamar dengan sejelas-jelasnya." Lalu turun ayat 91 dalam surah al-Maidah. Umar pun dipanggil dan dibacakan ayat ini kepadanya, lantas Umar berkata: "Selesai pengharamannya bagi dan selesai bagi kami."
[Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Abu Daud, al-Baihaqi, Ahmad, al-Hakim, at-Tabrani dan at-Tabari]

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan mengenai turunnya ayat al-Quran berkenaan dengan pengharaman arak. Wallahu a’lam.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
  1. Asbabun Nuzul. PTS Darul Furqan Sdn. Bhd.
  2. Tafseer Ibn Kathir.

No comments:

Post a Comment