Thursday, July 19, 2012


Imam Syafie 'Kembara ilmu dan pengajarannya'



Muhammad bin Idris asy-Syafi'e merupakan salah seorang daripada 4 imam mazhab muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau dilahirkan di Gaza, Palestin pada 767M (150H). Keunggulan, kesungguhan dan jasa beliau terhadap bidang keilmuan agama ini tidak dapat dinafikan lagi. Hasil sumbangannya seperti kitab ar-Risalah dan al-Umm menjadi salah satu daripada kitab rujukan sehinggalah ke hari ini.

Para penuntut ilmu seharusnya mencontohi kegigihan beliau di dalam menuntut ilmu. Bagi umat Islam umumnya pula adalah sangat baik untuk mengetahui serba sedikit sejarah Imam asy-Syafi'e bagi memahami sedikit sebanyak perjalanan evolusi mazhab fiqh di dalam dunia Islam ini dan akhirnya insya Allah dapat membebaskan atau menjauhkan diri dari kongkongan fanatik mazhab. Mutiara ilmu yang ditinggalkan oleh Imam asy-Syafie tidaklah sepatutnya hanya digali di dasarnya sahaja, bahkan kita seharusnya mempelajari dan mengetahui serta mengambil iktibar terhadap perjalanan ilmu itu sendiri.

Ringkasan perjalanan ilmu Imam asy-Syafie
Imam asy-Syafie seperti yang diketahui umum merupakan salah seorang daripada murid kepada Imam Malik bin Anas. Beliau telah belajar dari Imam Malik selama lebih daripada 20 tahun. Beliau juga menghafal kitab al-Muwatta' oleh Imam Malik. Bahkan beliau memuji kehebatan al-Muwatta' sebagai kitab yang sangat hebat pada ketika itu.

Kemudian beliau menuntut ilmu pula dari Muḥammad ibn al-Ḥasan, salah seorang anak murid kepada Imam Abu Hanifah. Hasil daripada pembelajarannya bersama Muḥammad ibn al-Ḥasan di Baghdad, Iraq, beliau telah pun menukar beberapa pendapatnya yang berasal dari pembelajarannya bersama Imam Malik. Beliau lalu menulis sebuah kitabnya sendiri yang disebut sebagai al-Hujjah.

Seterusnya beliau mengambil keputusan untuk ke Mesir bagi menuntut ilmu bersama Imam al-Layth. Walau bagaimanapun, al-Layth telah pun meninggal dunia pada ketika Imam asy-Syafi'e tiba di Mesir. Oleh itu beliau menuntut dari murid-murid kepada Imam al-Layth.

Setelah belajar dari murid-murid Imam al-Layth, beliau sekali lagi menukar sebahagian pendapatnya lalu menulis kitabnya yang masih kekal sehingga kini iaitu al-Umm.

Pengajaran
Pengajaran dari siri kembara ilmu Imam asy-Syafi'e ini adalah bahawa kita tidak seharusnya menyempitkan ilmu, menjumudkan pemikiran dan kita perlu lah sentiasa menggali ilmu pengetahuan. Ada yang berdalih dengan mengatakan: "Imam Syafi'e itu lain, dia istimewa! Dia hebat! Dia sangat 'alim!" Memang benar. Kita tidak menolak bahawa beliau memang hebat, 'alim dan istimewa. Akan tetapi apakah dengan alasan itu membuatkan kita menjadi malas ataupun menjadikan kita ini wajib berpegang kepada pandangan beliau sahaja, bersikap taksub, atau tidak boleh menyanggah atau bersikap kritis jika ada pendapatnya yang dirasakan kurang tepat? Maka ini seakan mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Islam ataupun menanam sikap taksub atau seolah-olah mengatakan bahawa Imam Syafi'e itu maksum dan tidak melakukan kesilapan.

Maka itu sangat bercanggahan dari contoh yang telah diajarkan oleh Imam Syafi'e sendiri. Bahawa beliau tidak taksub meskipun telah belajar dari gurunya Imam Malik selama lebih 20 tahun. Bahkan beliau mengatakan: "Al-Layth lebih faqih dari Imam Malik." Ini juga bukan bererti kata-kata sedemikian beliau bermaksud untuk menghina gurunya yang lebih awal iaitu Imam Malik. Beliau hanya menyatakan apa yang menurutnya adalah benar.

Beliau juga menunjukkan sikap berlapang apabila menuntut ilmu sehingga beliau bersedia untuk menerima pandangan dan pelajaran dari anak-anak murid Imam Abu Hanifah dan Imam al-Layth. Ini berlainan dengan sikap sesetengah agamawan hari ini yang apabila ada sesuatu pandangan yang baru, mereka tetap cuba juga mempertahankan apa yang telah dipelajarinya dari dulu meskipun mungkin pandangan itu lemah. Mereka tidak membuka ruang ilmiah kepada ilmu-ilmu baru untuk dibahaskan atau dibincangkan. Sikap inilah yang perlu dikikis. Bahkan ia boleh memandulkan intelektual dan menjadikan seseorang itu gemar bertaklid buta tanpa menganalisis kebenarannya. Wallahu a’lam.
--------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
  1. http://www.youtube.com/watch?v=h-fdZrs00TY&feature=relmfu
  2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Mazhab_Syafii
  3. http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Shafi%E2%80%98i