Thursday, June 7, 2012


Penyelewengan fakta. Ilmu, mazhab dan aqidah

Terlalu banyak kisah-kisah sejarah Islam yang kita boleh dapati dengan mudah hari ini, baik di laman web mahupun di kedai-kedai buku. Malangnya sesetengah informasi yang disampaikan oleh sang penulis kadang kala kurang berhati-hati sehingga meriwayatkan kisah yang ditokok tambah atau yang telah diselewengkan.

Tidak kurang juga ada golongan yang langsung tidak mengikuti perkembangan sejarah dan tamadun Islam lantas mengikut sahaja tuduhan-tuduhan serta fitnah orang lain yang mencemarkan kredibiliti serta maruah seseorang individu meskipun darjat mereka ini di kalangan para sahabat r.a mahupun para alim ulama'.

Antara ikon Islam yang menjadi mangsa fitnah yang sangat berleluasa pada hari ini adalah seperi Mu'awiyah ibn Abu Sufyan dari kalangan sahabat. Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan 'Aisyah pula menjadi mangsa laknat puak syiah terkesan dari riwayat-riwayat palsu yang diada-adakan.

Di kalangan ulama', tokoh Islam seperti Syaikh-ul-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim adalah di antara yang turut dituduh sesat bahkan ada yang sampai mengkafirkan keduanya. Orang-orang awam juga tidak kurang ada yang terpedaya dengan kata-kata dari individu-individu mahupun ustaz-ustaz yang tidak bertanggungjawab di dalam menyampaikan kisah-kisah yang direka-reka tanpa usul periksa dan pengkajian yang mendalam terhadap orang yang dituduhnya. Ada juga yang sebenarnya tidak pernah langsung membaca kitab-kitab dari cendekiawan Islam ini lantas hanya menurut sahaja fitnah yang didengarinya. Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(Surah Al-Hujraat 49:6)

Seperti yang diperjelaskan tadi, mereka yang menuduh bukan-bukan ini sesetengahnya ada juga yang sebenarnya tidak pernah membelek lembaran sejarah serta mengkaji riwayat-riwayat yang sampai kepada mereka sama ada sumbernya adalah benar ataupun tidak.

Terdapat pula sesetengah yang menyampaikan kisah-kisah salafussoleh atau imam-imam besar tanpa kajian yang mendalam sehingga kita dapati ada riwayat-riwayat yang dicurigai. Saya menjangkakan insan ini tidak melakukannya dengan niat yang tidak baik. Hanya mungkin beliau kurang cermat, sepertimana di dalam buku 'Imam-Imam yang Benar', di muka surat 98 dan 99 kisah Imam Abu Hanifah, penulisnya mengarang:

"Apabila sampai di kota Mekah, Imam Abu Hanifah terus memasuki Masjidil Haram lalu melakukan tawaf. Kemudian dia berdoa di depan kaabah, "Tuhanku, aku kenal kamu sekenal-kenalnya tetapi aku tidak berkhidmat kepada kamu sepenuhnya. Ampuni dosaku ya Allah," doa Imam Abu Hanifah berkali-kali.
Tiba-tiba bergema satu suara, "Hamba Allah yang soleh, kamu diampunkan. Begitu juga mereka yang beramal dengan mazhabmu hingga ke hari akhirat.""

Riwayat sebegini jika diteliti kita akan dapati ia bersumber dari riwayat-riwayat aliran sufi. Teksnya dicurigai kesahihannya kerana ia jauh sekali dari kebenaran. Ini kerana mazhab Hanafi adalah pegangan dari segi fiqh, ia bukanlah dari sudut aqidah. Ia juga tidak wajar menjadi hujah hanya dengan mengamalkan mazhabnya, maka dosa-dosa akan terampun. Perihal fadhilat hanyalah milik Allah SWT dan hanya melalui perkhabaran dari Nabi SAW. Kerana itulah para ulama' menolak mimpi, naluri atau perasaan para syeikh sebagai hujah apatah lagi bila melibatkan hukum.

Ibn Taimiyyah pula sehingga kini ramai yang melabel beliau sebagai ekstremis. Ironiknya, kita dapati banyak pula permasalahan fiqh yang dijadikan rujukan pada hari ini bersumberkan dari pendapat atau fatwa beliau kerana keluasan permasalahan yang dibincangkan dan dikarang oleh Ibn Taimiyyah terutamanya kitabnya Majmu' al-Fatwa. Ramai yang melabel beliau sebagai ekstremis kerana sikap kerasnya yang menentang ahli-ahli bid'ah pada zaman beliau. Jika diselidiki, golongan yang ditentang inilah yang sebenarnya ekstremis di dalam beragama, golongan penyembah kubur para wali serta taksub kepada para wali sehingga menganggap para wali itu berkuasa mengatur alam ini.

Ilmu, mazhab dan aqidah
Dunia Islam hari ini dicemari dengam beberapa fahaman yang kadang kala merumitkan agama itu sendiri. Akhirnya yang menjadi mangsa itu orang-orang awam akibat dari lidah-lidah yang tidak bertanggungjawab.

Contohnya, ramai yang percaya bertaqlid kepada aliran mazhab sudah menjadi sebahagian dari aqidah. Andaikata sesiapa yag berkata dia tidak mengikut mana-mana mazhab muktabar yang 4 (Hanafi, Maliki, Syafi'e atau Hanbali), maka dia dituduh bukan tergolong dari ahlus sunnah wal jamaah. Inilah antara fahaman yang tidak benar kerana aliran mazhab adalah di sekitar permasalahan fiqh dan fiqh adalah suatu ilmu dan bidang yang sangat luas serta sentiasa terbuka kepada pandangan mahupun ijtihad. Berlainan pula dengan aqidah yang mana tiada lagi ruang ijtihad dan sentiasa terikat dengan nas-nas Al Quran dan As-Sunnah. Bertaqlid atau mengikut mana-mana mazhab yang muktabar bukanlah tergolong dari masalah aqidah, akan tetapi ia hanyalah perbezaan dalam masalah fiqh.

Sesetengah aliran salafi moden juga tidak terlepas dari permasalahan ini, ada sesetengah dari pengikut aliran ini berpandangan sesiapa yang tidak mengikut pandangan atau tidak sependapat dengan ulama' mereka, ada yang dihukum sudah terkeluar dari ahlus sunnah, dituduh sesat dan sebagainya. Anehnya, mereka mengajak ummah agar keluar dari kejumudan atau fanatik/taksub bermazhab walhal sesetengah dari mereka ini sendiri yang mengikat diri mereka dengan pandangan para syeikh mereka.

Sekali lagi sejarah mampu memainkan peranan di dalam menangani permasalahan ini. Seseorang penuntut ilmu sepatutnya mengkaji evolusi serta perjalanan mazhab serta fiqh Islam agar ia lebih menghargai nilai-nilai ilmu fiqh yang dicurahkan oleh para fuqaha' zaman berzaman. Pandangan kontemporari meskipun sumber-sumber yang kita dapati hari ini lebih banyak dan lebih mendalam kajiannya, tidak bererti ia semestinya adalah yang paling benar kerana kaedah yang diguna pakai di dalam perhitungan hukum dan kefahaman dalil adalah berbeza bagi setiap fuqaha'. Di dalam persoalan ini tidak sepatutnya timbul masalah apabila berbeza pendapat di kalangan fuqaha' sepertimana kata Muhammad Abdul Wahab: "Tidak ada bantahan dalam masalah ijtihad."

Bahkan kita juga mungkin boleh mendapat manfaat dari pengkajian mazhab-mazhab lain yang sudah berkubur contohnya seperti Az-Zahiri, At-Thawree, Al-Jariree dan sebagainya. Imam Layth ibn Sa'ad pula adalah salah seorang tokoh mazhab yang dipuji oleh Asy-Syafi'e sehingga beliau menyebut: "Al-Layth lebih faqih dari Imam Malik."

Apa yang boleh disimpulkan dari artikel ini adalah pertamanya mengenai kepentingan kita mencari riwayat-riwayat dan lembaran sejarah yang tepat dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Untungnya Islam kerana disiplin ilmu hadith antaranya adalah mengenal pasti pembawa riwayat atau disebut sebagai perawi. Antaranya ada yang dipercayai dan ada yang ditolak kerana masalah-masalah tertentu. Dari kalangan perawi-perawi yang dipercayai itu juga kita boleh mencungkil sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Keduanya, agar kita dapat menjauhi fitnah. Jangan sehingga apa yang diceritakan mengenai seseorang itu kita terima bulat-bulat tanpa mengkaji keaslian cerita tersebut sebagaimana firman Allah SWT yang telah dinyatakan.

Akhirnya sekali adalah kita seharusnya berlapang dada serta mengelakkan dari kekeliruan dan kecelaruan. Serahkan urusan agama yang lebih mendalam itu kepada para ahlinya kerana dikhuatiri kerana kejahilan kita akan membawa keburukan kepada orang lain.

Wallahu a’lam.

----------------------------------------
Rujukan: Dr. Abu Ameenah Bilal Philips. "The evolution of Fiqh".

No comments:

Post a Comment