Wednesday, May 16, 2012


Yasin malam Jumaat, sunnah atau bid'ah?

Topik ini seringkali saya cuba elak untuk berbicara mengenainya kerana saya cuba mengelakkan perdebatan yang sia-sia atau ditohmah macam-macam. Akan tetapi kini, saya merasa ada keperluan untuk menyentuh isu ini kerana masih ada yang meminta pandangan dan ingin berbicara dengan saya mengenai topik ini. Sebelum saya memulakan bicara, saya berharap agar isi artikel ini dapat dinilai dari sudut ilmiah. Insya Allah.

Membaca Yasin malam Jumaat, sunnah atau bid'ah?
Bacaan surah Yasin seringkali dikaitkan dengan upacara seperti tahlil arwah, membaca di kubur, membaca di sebelah mayat, sedekah kepada roh arwah, membaca di sekolah untuk pelajar yang bakal ambil peperiksaan besar seperti UPSR atau SPM, doa selamat dan sebagainya.

Ini menunjukkan kedudukan surah Yasin di kalangan masyarakat Islam terutamanya Melayu adalah sangat tinggi. Hanya lagi yang menjadi MASALAH utamanya adalah apabila ia diiringi dengan iktiqad yang salah.

Semasa saya di sekolah agama rendah dahulu, saya mendengar seorang guru yang berkata: "Pada setiap malam Jumaat, roh arwah akan pulang ke rumah masing-masing sambil membawa bakul kosong. Jika di rumah itu ahli keluarganya ada menyedekahkan sesuatu (seperti surah Yasin), maka roh itu akan pulang ke kuburnya dengan gembira manakala bagi yang tidak membawa pulang apa-apa akan merasa sedih."

Kisah ini tiada pengriwayatan yang sahih, ini termasuk yang dipanggil sebagai israeliyyat. Ia lebih berbentuk kepada cerita rakyat yang diada-adakan tanpa bukti-bukti yang sahih. Menceritakan kisah sebegini adalah HARAM kerana menyandarkan sesuatu yang tidak benar dan tidak sahih kepada agama Islam.

Kisah yang kedua pula berlaku pada seorang wanita yang mendaftar untuk tahlil arwah bulan Ramadhan di sebuah masjid, kemudian salah seorang ahli masjid yang mengambil upah itu berkata: "Itulah kita kena buat benda-benda macam ni (tahlil) sebab roh-roh arwah ni dia balik rumah, jadi kita kena buat sesuatu."

Ini juga tiada asas dan tiada dalil yang menyentuh mengenai perkara ini. Jika tidak ulama terdahulu dan kini tidak berdebat lagi mengenai apakah pahala sedekah bacaan al-Quran secara beramai-ramai ini akan sampai kepada mayat ataupun tidak.

Maka di sini kita melihat masyarakat membaca surah Yasin kerana mereka mempercayai surah Yasin ini ada fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana itu juga mereka tidak menukar bacaan Yassin pada setiap malam Jumaat kepada surah-surah lain. Mereka menyebut apa salahnya, sekurang-kurangnya ada juga baca al-Quran dalam seminggu. Maka kita katakan, mengapa mesti Yasin? Kenapa tidak ditukar-tukarkan surah setiap minggu? Maka pastilah mereka akan memberikan pelbagai lagi jawapan lain kerana pada hakikatnya mereka sendiri mempercayai dengan fadhilat-fadhilat palsu mengenai surah Yasin ini.

Membaca surah Yasin itu termasuk di dalam membaca al-Quran. Perbuatan ini adalah sangat mulia dan mendapat pahala sama seperti membaca al-Quran. Tetapi apabila disertakan dengan iktiqad atau keyakinan tertentu yang palsu, yang tidak datang dari mana-mana dalil, maka pahala itu tidak ada kerana sesuatu amalan itu hanya akan diberi ganjaran pahala jika ia bertepatan dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah (mutaba'ah).

Perlulah di sini kita ketahui bahawa apabila kita berbicara mengenai fadhilat, maka fadhilat tidak boleh datang melalui:
  1. Ijtihad ulama semata-mata tanpa ada dalil yang menyokong. Contohnya seseorang ulama itu berkata, saya berpendapat membaca surah Yasin mendapat ganjaran 70 pahala. Tetapi ulama ini tidak pula menyebut dia mengambilnya daripada mana-mana dalil al-Quran atau hadis, sebaliknya dia berkata ini hanyalah pendapat beliau. Maka hujah ini DITOLAK.
  2. Melalui mimpi syeikh atau ulama. Ini kerana Mimpi tidak boleh dijadikan hujah agama. Mimpi seseorang individu selain daripada para Nabi dan Rasul adalah terdedah kepada tipu daya syaitan. Memang benar, mimpi yang baik boleh jadi ia adalah ilham daripada Allah SWT, akan tetapi ia juga berkemungkinan adalah mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Apatah lagi mimpi seseorang itu tidak dapat dibuktikan kesahihan dan kebenarannya. Maka setiap orang boleh mendakwa bermimpi macam-macam!

Maka yang benar adalah fadhilat itu hanya boleh melalui bukti dalil-dalil Al-Quran dan hadis. Ia juga bermakna hanya Allah SWT dan Rasul-Nya yang berhak untuk mengkhabarkan kepada kita mengenai fadhilat sesuatu perkara. Ini kerana pemilik fadhilat tersebut adalah Allah!

Kedudukan hadis mengenai surah Yasin
Baiklah, sekarang mari kita tinjau apakah kedudukan hadis yang menceritakan mengenai surah Yasin.

من قرأ سورة يس في ليلة أصبح مغفورا له . ومن قرأ الدخان ليلة الجمعة أصبح مغفورا له
Maksudnya: "Siapa yang membaca surah Yasin dalam suatu malam, maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya dan siapa yang membaca surah Ad-Dukhan pada malam Jumaat maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya."

Status hadith: Palsu (maudhu'). Ibnul Jauzi mengatakan, hadith ini dari semua jalannya adalah batil, tidak ada asalnya. Imam Daruquthni berkata: Muhammad bin Zakaria yang ada dalam sanad hadis ini adalah tukang memalsukan hadis.

اقرأوا على موتاكم يس
Maksudnya: "Bacakanlah surah Yasin kepada orang yang akan mati di antara kamu."

Status hadith: Lemah (dhaif). Di antara yang meriwayatkan hadis ini adalah Ibnu Abi Syaibah (4:74 cet. India), Abu Daud No. 3121. Hadis ini lemah kerana Abu Utsman, di antara perawi hadis ini adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian pula dengan ayahnya. Hadis ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).

مَنْ قَرَأَ يَسٍ فِيْ لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهَ اللهِ غُفِرَ لَهُ
Maksudnya: "Barangsiapa membaca surah Yasin pada malam hari kerana mengharap keredhaan Allah, nescaya Allah ampuni dosanya."

Status hadith: Lemah (dhaif). Diriwayatkan dari Abu Hurairah, tetapi di dalam sanadnya ada Aghlab bin Tamiim. Imam Bukhari berkata: "Ia adalah munkarul hadith." Ibnu Ma’in berkata: "Ia tidak ada apa-apa (tidak kuat)." (Mizaanul I’tidal (I/273-274) dan Lisaanul Mizaan (I/464-465)

مَنْ قَرَأَيَسٍ فِيْ لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ غُفِرَ لَهُ فِيْ تِلْكَ اللَّيْلَةِ
Maksudnya: "Barang siapa membaca surah Yasin pada malam hari kerana mengharap keredhaan Allah, maka ia akan diampuni dosanya pada malam itu."

Status hadith: Lemah (dhaif). Diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi dari jalan Walid bin Syuja’, ayahku (Syuja’) telah menceritakan kepadaku, Ziyad bin Khaitsamah telah menceritakan kepadaku, dari Muhammad bin Juhadah dari al-Hasan, dari Abu Hurairah r.a. (Sunan ad-Darimi (II/457)
Hadith ini diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi, Abu Nu’aim dan al-Khatib, dari jalan al-hasan, dari Abu Hurairah r.anhu. Hadith ini Munqathi’, kerana dalam semua sanadnya terdapat al-Hasan bin Yasar al-Bashriy, ia tidak mendengar riwayat ini dari Abu Hurairah. Imam adz-Dzahabi berkata : “Al-Hasan tidak mendengar dari Abu Hurairah, maka semua hadith yang ia riwayatkan dari Abu Hurairah termasuk dari jumlah hadith-hadith munqathi’.

Hadith-hadith yang telah saya sebutkan di atas merupakan sebahagian dari banyak lagi hadith yang diriwayatkan mengenai fadhilat Yasin, tetapi saya mendapati hadith-hadithnya adalah lemah (dhaif) atau palsu (maudhu').

Alasan membaca Yassin
Saya juga turut mendengar beberapa ustaz dan ulama yang mempertahankan bacaan Yassin yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Ada yang berkata:
1. Surah Yassin lebih pendek dari surah Al-Kahfi
2. Lebih baik dari tidak ada amalan membaca Quran langsung
3. Kita bermazhab Syafi'e dan ini adalah amalan di dalam mazhab Syafi'e

Bagi alasan yang pertama, ia tidak dapat diterima. Jika inilah alasannya, maka kita boleh rotate atau menukar setiap minggu dengan surah-surah lain yang jauh lebih pendek dari surah Al-Kahfi. Akan tetapi pengkhususan inipun tidak dianjurkan kerana membaca Al-Kahfi lebih utama. Maka kita melihat ramai yang mempertahankan bacaan Yassin ini kerana kepercayaannya terutamanya bagi orang-orang awam. Kita juga tahu bahawa sebahagian yang mengadakan tahlil arwah kerana mereka percaya ini adalah salah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Maka ini adalah iktiqad yang salah.

Alasan yang kedua pula saya lihat lebih kepada peranan-peranan para dai'e, ustaz dan ulama di dalam mendidik masyarakat tentang hakikat sunnah itu sendiri melalui dalil-dalil yang sahih.

Alasan yang ketiga tidak relevan sama sekali kerana Imam Syafi'e antara yang menolak pendapat bacaan Quran sampai kepada si mati. Ibn Kathir berkata ketika mentafsir Surah An-Najm ayat 39: "Daripada ayat yang mulia ini, Imam Syafi'e rahimahullah dan mereka yang mengikutinya mengeluarkan hukum bahawa pahala hadiah bacaan (Al-Quran) tidak sampai kepada orang-orang yang mati". (Tafsir Ibn Katsir: 7/465).

Walau bagaimanapun isu sama ada pahala bacaan al-Quran sampai atau tidak kepada si mayat adalah termasuk di dalam isu khilafiah yang mana terdapat sejumlah ulama termasuk ulama kontemporari seperti Dr. Wahbah Zuhaily yang berpandangan bacaan al-Quran sampai kepada si mati. Akan tetapi tidak ada seorangpun ulama yang menegaskan ia mestilah bacaan surah Yasin.

Terdapat juga amalan lain yang disandarkan kepada Imam Syafi'e sedangkan hakikatnya ia bukanlah pendapat sebenar Imam asy-Syafi'e. Di dalam kitab Mazhab Syafi'e yang ditulis oleh tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’e, iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, disebut dalam kitab tersebut: "Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam) -http://drmaza.com/home/?p=796

Kesimpulan
Pandangan yang saya pilih berdasarkan pada hujah-hujah yang telah saya kemukan, saya memilih pandangan yang menolak bacaan Yasin pada upacara-upacara yang dikemukan di awal artikel ini. Saya berharap isi-isi perbincangan artikel ini dapat dinilai tanpa sebarang sentimen atau hujah yang tidak ilmiah atau rasional.

Saya boleh memahami sesetengah pihak yang berpendapat agar sekurang-kurangnya orang awam ada satu amalan agama untuk diamalkan, akan tetapi kesan dari amalan ini akan memberikan impak yang kurang baik:
1. Kerana mereka akan percaya kepada iktiqad yang salah.
2. Mengabaikan tuntutan sunnah, iaitu surah Al-Kahfi.

من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين
Maksudnya: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan."
(Diriwayatkan oleh al-Haakim, 2/399; dan al-Bayhaqi, 3/249. Ibn Hajar berkata di dalam Takhreej al-Adhkaar hadith ini hasan, dan dia berkata, ini adalah laporan yang paling kuat yang pernah diriwayatkan mengenai membaca surah Al-Kahfi. Lihat: Fayd al-Qadeer, 6/198. Dinilai sahih oleh Shaykh al-Albaani di dalam Saheeh al-Jaami’, 6470)

Oleh itu saya mencadangkan agar kita menganjurkan masyarakat supaya kembali kepada tuntutan sunnah yang sahih, iaitu menganjurkan bacaan surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Serta dielakkan majlis bacaan secara berjemaah kerana tidak ada langsung petunjuk di dalam sunnah yang menyuruh untuk kita melakukan sedemikian.

Akhir kata, semoga perbincangan ini membawa manfaat insyaAllah dan semoga usaha dan amal kita diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Wallahu a’lam.

- Artikel berkaitan: Yassin dan magik orang Melayu!
-------------------------------------------------------------
Rujukan lain: http://abuumair1.wordpress.com/2009/04/29/beberapa-pendapat-imam-syafie/

Hadith-hadith mengenai Yasin bolehlah anda baca di:

7 comments:

  1. Asslamualaikum

    Ibadah yg beliau (Nabi MUhammad) tidak melakukan dan kita lakukan akan ditolak. Benarkan?

    Benar sekali, “Dari ‘A’isyah RA, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang melakukan suatu yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak”. (Shahid Muslim, [243])
    Maksud perintah KAMI, adalah hal-hal yg berkait dengan ibadah, dengan syariat agama seperti cara Solat, cara puasa, zakat, haji dan sebagainya.

    Contohynya sekira kita mengubah rakaat dlm solat, itulah yg tertolak. Pula tahlil, peringatan hari kebesaran Islam seperti Maulid, ini bukan masuk dalam syariat agama.

    Sunnah Rasul saw, atau menghalalkan apa apa yang sudah diharamkan oleh Rasul saw atau sebaliknya, inilah makna hadits beliau saw :
    “Barangsiapa yang membuat buat hal baru yang berupa keburukan...dan sebagainya”, inilah yang disebut Bid’ah Dhalalah.

    Beliau saw telah memahami itu semua, bahwa kelak zaman akan berkembang, maka beliau saw memperbolehkannya (hal yang baru berupa kebaikan), menganjurkannya dan menyemangati kita untuk memperbuatnya, agar ummat tidak tercekik dengan hal yang ada dizaman kehidupan beliau saw saja, dan beliau saw telah pula mengingatkan agar jangan membuat buat hal yang buruk (Bid’ah dhalalah).

    Jelaslah bahwa Rasul saw menjelaskan pada kita untuk mengikuti sunnah beliau dan sunnah khulafa’urrasyidin, dan sunnah beliau saw telah memperbolehkan hal yang baru selama itu baik dan tak melanggar syariah, dan sunnah khulafa’urrasyidin adalah anda lihat sendiri bagaimana Abubakar shiddiq ra dan Umar bin Khattab ra menyetujui bahkan menganjurkan, bahkan memerintahkan hal yang baru, yang tidak dilakukan oleh Rasul saw yaitu pembukuan Alqur’an (menyatukan jama’ah tarawih di masjid, adzan Jum’ah dua kali dan lain-lain), lalu pula selesai penulisannya dimasa Khalifah Utsman bin Affan ra, dengan persetujuan dan kehadiran Ali bin Abi Thalib kw.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. terima kasih atas komentar

      Untuk menjawab komentar tuan, pertamanya perlu kita ketahui bahawa sunnah khulafa' ar-rasyidin juga diiktiraf oleh nabi di dalam hadis:

      "...Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk (daripada Allah) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu (berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu). Dan jauhilah kamu dari pekara-pekara yang diadakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida'ah itu menyesatkan."
      (Riwayat Abu Daud dan Turmuzi, dia berkata : hasan shahih)

      2. Pembukuan al-Quran tidaklah termasuk di dalam hal ibadah, maka ia tidak berkait di dalam persoalan ini.

      3. Azan dua kali pada zaman Uthman adalah sebagai maslahah untuk memanggil kaum muslimin di pasar, bahkan seperti yang dijelaskan awal tadi, sunnah khulafa' ar rasyidin telahpun diperakui oleh Nabi SAW.

      3. Solat tarawih berjemaah bukanlah diperkenalkan oleh Umar r.a. kerana hal itu sudah berlaku semasa di zaman nabi. Sila rujuk balik sirah, hanya nabi berhenti mendirikan tarawih jemaah kerana baginda mengatakan khuatir takut ia difardhukan dan ia mungkin akan memberatkan umatnya. Maka baginda hentikan jemaah, dan ia dihidupkan balik ketika zaman Umar r.a. dan beliau tidak perlu takut difardhukan kerana selepas kewafatan Nabi, sudah tiada lagi syariat baru.

      4. Jika tahlil adalah diperbolehkan kerana menurut anda ia adalah hal yang baru berupa kebaikan, kenapa pula tidak didirikan solat rawatib secara berjemaah? Bukankah ia juga kelihatan baik?

      5. Apakah tahlil tidak termasuk dalam hal ibadah sedangkan upacara ini dijalankan dengan tatacara atau kaifiat tertentu, membaca surah-surah tertentu dan dengan iqtiqad tertentu. Semua ini tidak ada dasarnya atau sumbernya. Bahkan ia boleh jatuh pula di dalam kategori beramal dengan hadis palsu yang mana hukumnya adalah haram (jika dengan iqtiqad surah yassin memberi fadilat2 tertentu yg disebut dalam hadis palsu).

      6. Imam Ahmad berkata: Apabila tertegaknya satu bid'ah, maka terhapuslah satu sunnah ... benarlah kata-kata ini, kerana menegakkan membaca yassin setiap malam jumaat, maka matilah yang sunnah nya iaitu membaca al-kahfi pada hari jumaat.

      Delete
  2. assalamualaikum.kite dah banyak sangat lari dari jalan yg allah redha.sekarang,tak perlu berdebat.bukak balik al quran dan hadis.apa yg tertulis di dua kitab tu,amalkan sahaja.kerana kebiasaan manusia,makin berdebat makin malas nak beramal dgn ikhlas.makin banyak bercakap makin banyak dosa.ingat saudara2 sekalian.kita benar2 di akhir zaman.buktinye,itulah Syria yg sedang bergolak.assalamualaikum

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.... saya sering keliru tentang persoalan2 bid'ah ini. Ingin pencerahan. Soalan kepada afiqme mohamad:
    1. Adakah wujud bid'ah Hasanah (lawan kepada Bid'ah Dhalalah)? Jika ya,
    2. Apakah hukumnya beramal dengan bid'ah Hasanah itu?
    3. Adakah hadith "SETIAP yang baharu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat (dhalalah), dan setiap yang sesat itu ke neraka" mengkhususkan SETIAP perkara baru dalam ibadah itu adalah sesat? Jika ya,
    4. Bagaimana pula dengan hadith2/ayat2 quran lain yang menggunakan perkataan 'kullu' dalam matannya tetapi di jelaskan dengan hadith2 lain seperti "SETIAP anak adam akan dimakan bumi kecuali tulang sulbi ('ajbal zanab)" yang dijelaskan lagi dengan hadith tentang jasad para nabi dan para syuhada' tidak dimakan bumi? Lafaz 'kullu' itu dijelaskan lagi dengan matan hadith lain yang seolah2 bercanggah.
    5. Apakah perkara2 atau kaedah2 yang perlu diambil kira dalam penafsiran hadith2 sahih seperti berkenaan lafaz 'kullu' itu?

    mohon pencerahan. Saya mendapat persoalan2 ini daripada seorang ustaz. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam. saya tidak akan menjawab ke semua soalan.. insya Allah sy akan jawab yg berkaitan dengan topik perbincangan ini sahaja.

      1. Bid'ah hasanah seperti yg banyak disebut oleh banyak orang hanyalah 'bidaah' dari segi bahasa sahaja... iaitu bermaksud ia sebenarnya secara bahasa disebut bidaah tetapi hakikatnya ia tidak tergolong di dalam bidaah...

      Ini lah seperti yang dijelaskan oleh para ulama... iaitu bidaah yang dimaksudkan adalah bila ia berlaku sesuatu benda yang baru (innovation) di dalam urusan agama yakni aqidah dan ibadah khusus ...

      bila orang cakap.. nabi tak pakai jam, jadi orang yg pakai jam sekarang ni adakah bidaah? Kita katakan tidak ... ini kerana secara hakikatnya ia bukanlah bidaah ... kerana jam tidak termasuk dalam urusan aqidah atau ibadah, ia adalah urusan duniawi dan muamalah.. bersesuaian dengan hadis nabi "kamu lebih mengetahui urusan duniamu." ... tetapi secara 'bahasa'nya ia boleh disebut sebagai bidaah .. cuma ia bukanlah bidaah di dalam syarak ... dan inilah yang banyak orang kurang faham yakni pembahagian bidaah itu sendiri...

      2. bidaah hasanah setelah kita faham, ia sebenarnya hanya terkait dengan urusan duniawi, seperti penggunaan komputer dan internet, naik kereta, buat sekolah, terbitkan buku pelajaran dan sebagainya.. maka ia tidak sabit kepada hukum beramal kepadanya sebagaimana sabit hukum melakukan amalan ibadah khusus... jika benda baru yg dibuat itu memberi manfaat, maka insya ALLAH ada pahala kepadanya, seperti membuat sekolah ...

      3,4,5. Saya simpulkan, tiada permasalahan di dalam lafaz 'kullu' itu jika kita memahami pembahagian bidaah itu sendiri.. iaitu bidaah yang tercela itu adalah setiap perkara baru dalam urusan agama yakni aqidah dan ibadah, seperti menambah2 hal ibadah, seperti menambah lafaz niat, melakukan tahlil dan seumpamanya ... sedangkan yg disebut bidaah hasanah itu adalah setiap yang terkait dengan urusan duniawi dan ia secara hakikatnya bukanlah bidaah...

      harap memberi penjelasan dari huraian sy yang ringkas ini...

      barakallahu feek

      Delete