Saturday, May 26, 2012


Kepentingan mempelajari ilmu Hadith

Ilmu Hadith memainkan peranan penting di dalam menterjemahkan shariah Islam. Ilmu hadith membantu kita mengenal pasti ketepatan dan kesahihan teks hadith (matan) dan juga rangkaian perawi (sanad) hadith, kondisi perawi dan dari siapa dia riwayatkan.

Dari mempelajari ilmu ini, kita akan dapat:

  1. membezakan di antara hadith yang diterima, 'hadith maqbul' (حديث مقبول) dan hadith yang tertolak, 'hadith mardud' (حديث مردود).
  2. membantu kita memahami maksud hadith.
  3. membezakan di antara yang jelas dan terang, 'muhkam' (محكم) dan yang samar-samar, 'mutashabihat' (متشابه).
  4. mengenal pasti hadith 'nasikh' dan 'mansukh' (ناسخ ومنسوخ).
  5. mengenal pasti cara terbaik untuk berinteraksi dengan sesetengah hadith yang dilihat mempunyai konflik secara literal atau percanggahan teks.
  6. membantu untuk mengetahui cara terbaik untuk berinteraksi dengan 'time and place dimension' hadith tersebut. Ini kerana ada sesetengah hadith yang menunjukkan kesesuaian pada tempat atau masanya.
  7. mengikuti sunnah Nabi SAW dengan lebih baik dan tepat.

Sunnah Nabi SAW adalah sumber dan elemen yang sangat penting. Kedudukannya adalah yang kedua selepas Al-Quran dan merupakan salah satu dari intipati asas dan 'core' di dalam ajaran Islam. Sunnah juga memainkan peranan penting di dalam pembangunan manusia dan ketamadunan.

Ilmu hadith adalah sangat unik dan hanya diaplikasikan oleh umat Islam. Dengan kaedah yang tersendiri dan karakteristik yang tegas di dalam prinsip dan asasnya, aplikasi ilmu hadith adalah di antara sumbangan terbaik oleh umat Islam terhadap tamadun manusia.

Prinsip dan kaedah-kaedah peraturan di dalam hadith adalah untuk mengesahkan kesahihan periwayatan dan asas bagi prinsip ini adalah ia bebas dari kepercayaan ataupun niat yang karut. Sebaliknya, prinsip yang sebenar adalah ia bersandarkan kepada kaedah yang logik, disokong melalui analisis rasional dan realiti sejarah. Di dalam sesetengah hal, para ilmuwan/ulama' hadith membuat perbandingan dan perbezaan kaedah pada periwayatan yang berbeza dari pelbagai perawi bagi mengesahkan kesahihan periwayatan, atau sebaliknya (tidak sahih).

Contoh yang mudah adalah salah satu sebab yang membolehkan sesebuah hadith itu ditolak atau diragui adalah apabila rantaian perawinya terputus. Ini adalah logik bagi orang-orang yang waras. Apabila terdapat perawi yang hilang dari rantaian perawi, bagaimana kita boleh yakin dengan kesahihan hadith tersebut?

Sama juga halnya dengan orang yang tiada nilai moral, penipu atau seseorang yang diragui atau pelupa, bagaimana kita boleh yakin untuk mengesahkan atau mempercayai cerita atau khabar dari orang-orang seperti ini?

----------------------------------------
Diringkaskan dari buku "Introduction to the Sciences of Hadith", karya Ismail Abdullah dan Shayuthy Abdul Manas, UIAM.