Tuesday, May 29, 2012


Definisi Al-Hadith dan As-Sunnah

Al-Hadith (ألحديث)
Dari segi bahasa ia bermaksud 'berita' atau 'perkara baru'. Kata jama' (plural)nya pula adalah 'Ahaadith' (أحاديث). Akan tetapi makna 'Hadith' yang diterjemahkan oleh Muhaddithun adalah: "Apa yang disandarkan pada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dari perbuatan (deeds), percakapan (sayings), pengakuan (tacit approvals), dan penerangan mengenai sifat fizikal dan sifat akhlak Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam."

Contoh:
1. Percakapan

"عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :  "من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه
Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: "Daripada keelokkan Islam seorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya." 
(Riwayat at-Tirmidzi, Ibn Hibban, Ath-Thabrani, al-Baihaqi, al-Mundziri dll)

2. Perbuatan

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا أتاه أمر يسره وبشر به خر ساجدا شكرا لله تعالى
"Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila mendengar apa-apa berita yang membuat baginda merasa lapang, Baginda akan turun sujud syukur kepada Allah Ta'ala."
(Riwayat Ibn Majah, Asy-Syaukani, as-Suyuthi dll)

3. Pengakuan
Pengakuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah apabila sahabatnya melakukan sesuatu, atau berkata sesuatu pada ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam turut berada di situ, lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam diam tanpa membantah atau menafikannya. Diam Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam itu disifatkan sebagai pengakuan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam terhadap apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh sahabatnya.

فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ
"Maka Khalid makan (dhab itu) sementara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memerhatikannya."
(Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

4. Sifat akhlak
Abu Sa’id Al-Khudri radiallahu ‘anhu mengatakan: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشَدَّ حَيَاءً مِنْ الْعَذْرَاءِ فِي خِدْرِهَا وَكَانَ إِذَا كَرِهَ شَيْئًا عَرَفْنَاهُ فِي وَجْهِهِ
"Rasulullah itu lebih pemalu daripada gadis dalam pingitan. Jika beliau tidak menyukai sesuatu, nescaya kami dapat mengetahui ketidak sukaan beliau itu dari wajahnya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5. Sifat fizikal
Dari Abu Juhaifah, dia berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْيَضَ قَدْ شَابَ 
"Aku melihat (muka) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam putih (agak kemerah-merahan) dan tampak beruban."
(Riwayat At-Tirmidzi)

As-Sunnah (السنة)
Dari segi bahasa ia bermaksud 'jalan' atau 'cara hidup' sama ada ia terpuji atau tercela. Dari segi istilah pula, Muhaddithun mengatakan bahawa takrifannya adalah sama seperti Al-Hadith. Walau bagaimanapun terdapat sesetengah ilmuan Islam yang turut memasukkan percakapan dan perbuatan dari para sahabat dan tabi'en. Ini adalah kerana sahabat sentiasa beramal bertepatan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sesuai dengan keadaan mereka yang hidup pada zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut Fuqaha' (ulama' Fiqh) pula, penerangan mengenai sifat fizikal dan akhlak Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak termasuk di dalam As-Sunnah. Ini kerana ahli Fiqh memandang dari segi shariah dan sebagai sumber hukum yang kemudian diluaskan kepada ijtihad.

Lawan kepada perkataan sunnah adalah bid'ah. Imam Syatibi berkata seseorang itu dikatakan mengikut sunnah sekiranya dia melakukan amalan yang bertepatan dengan amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan dikatakan melakukan bid'ah sekiranya berlawanan dengan amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam atau amalan yang tidak wujud pada zamannya, sahabat dan salafussoleh.

Wallahu a’lam.

----------------------------------------
Rujukan:
  1. "Introduction to the Sciences of Hadith", karya Ismail Abdullah dan Shayuthy Abdul Manas, UIAM. 2009.
  2. Ahmad Fauzan Abu Muadz AlFauzani bin Yahaya. "Mari Mengenal Ilmu Hadith". 2007. Perniagaan Jahabersa.
  3. Mustafa 'Abdul Rahman. "Hadith 40 - Terjemahan dan Syarahnya". 2008. Dewan Pustaka Fajar.
  4. http://soalsolatumum.blogspot.com/2008/12/kaifiat-sujud-syukur.html
  5. http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu2.htm
  6. http://cara-muhammad.com/karakter/sifat-rasulullah-saw/

No comments:

Post a Comment