![]() |
| Air terjun Sipiso-piso. Sumber: Net |
Kini saya berada di Hotel Kesawan di Medan bagi menghabiskan sisa cuti di Indonesia ini. Bagi mereka yang inginkan hotel budget di Medan, saya mencadangkan hotel ini. Harganya sekitar 190,000-270,000 rupiah semalam. Biliknya pun boleh tahan, tempatnya bersih dan lokasinya terletak bersebelahan dengan Pasar Ikan, yang mana bagi saya adalah ibarat syurga beli belah kain, tudung dan aksesori bagi kaum perempuan. Untuk ke shopping mall seperti Medan Mall, Sun Plaza @ Sogo pun tidaklah jauh.
Rakyat Indonesia di sini begitu bertoleransi terutamanya ketika di jalanraya. Banyak kali pemandu kereta kami memotong dengan cara yang mungkin dianggap kurang ajar di Malaysia, akan tetapi di sini, tiada yang marah, malahan memberi peluang dan mempermudahkan pula pemandu itu hendak memotong. Kereta di sini juga terlalu kerap menggunakan hon. Jika di Malaysia, hon adalah salah satu simbolik kepada kemarahan pemandu, akan tetapi di sini ia bertujuan untuk memberitahu agar orang lain 'aware' dengan kehadiran kenderaannya. Contohnya, sebelum memotong, pemandu akan membunyikan hon untuk memberitahu kereta di hadapan, ketika di selekoh merbahaya juga dan ketika kereta bertentangan. Pendek kata, sepanjang perjalanan kami, meriah dengan bunyian hon.
Gaya pemanduan juga agak hebat dan laju. Jika di Malaysia ada orang yang memandu sambil 'mencilok' di jalan satu lane dianggap hebat, tetapi di sini adalah biasa. Mungkin kerana mereka sudah biasa dengan jalan satu lane kerana perjalanan kami dari Medan ke Parapat (untuk ke Danau Toba) hanyalah ada jalan yang satu lane. Akan tetapi apabila saya berbual dengan pemandu, dia katakan kadar kemalangan adalah sangat rendah, ini mungkin hasil dari 'attitude' mereka yang kerap menggunakan hon sekaligus membuatkan orang lain sentiasa sedar dengan kehadiran mereka.
Masyarakat Batak
Ramai orang Melayu jika disebut orang Batak, mereka membayangkan orang yang makan orang sekaligus membuatkan mereka takut dengan orang Batak. Akan tetapi hakikatnya bangsa Batak ini juga normal sepertimana bangsa lain. Orang yang memakan orang itu adalah hanya askar mereka yang mana mempercayai jika memakan orang maka dia akan lebih bertambah kuat. Itupun bukan sesuka hati boleh membunuh orang, hanya orang-orang yang bersalah sahaja yang boleh dibunuh seperti perogol dan pembunuh. Orang sebegini dianggap sebagai binatang kerana tidak berhati manusia sehingga sanggup melakukan jenayah sebegitu, kerana itulah ada 'lebai' atau 'tok batin' mereka yang berfatwa boleh dimakan daging mayat mereka yang dihukum pancung.
Saya sempat mendengar penerangan seorang tourist guide, dia menceritakan bahawa masyarakat Batak sebelum kedatangan kristian, mereka mempercayai kepada tiga unsur warna, putih yang melambangkan syurga berada di atas, merah melambangkan dunia berada di tengah dan hitam melambangkan neraka berada di bawah. Akibat kepercayaan inilah jika ada kematian, mereka tidak mahu ditanamkan di bawah tanah, kerana tidak mahu masuk neraka. Kubur mereka akan berada di atas tanah. Selepas kedatangan kristian barulah ada yang mahu ditanam di bawah tanah. Akan tetapi apa yang saya lihat, mereka masih belum lagi bebas sepenuhnya dari kepercayaan tradisi mereka. Apabila berlaku kematian, sangat menghairankan kerana di sini akan diraikan bagaikan suatu sambutan yang mana pada mulanya akan diadakan penceritaan riwayat hidup dan kemudian diadakan aktiviti live band, berjudi dan minum arak! Lebih ajaib lagi, pada papan tanda dihiaskan dengan ayat 'Selamat Bahagia!', mungkin itu adalah ucapan terakhir mereka kepada si mati yang dijangkanya akan berbahagia di syurga.
Di gerai makanan pula yang bertulis restoran muslim dijual air arak. Barangkali mereka ingat hanya babi sahaja yang haram untuk dijual. Sebelum ini saya juga difahamkan oleh teman-teman bahawa sesetengah mereka ini bagaikan menjalani kehidupan berbentuk sekular kerana membezakan di antara agama dan kehidupan. Bagi sesetengah mereka, solat tetap solat, tetapi dalam masa yang sama boleh sahaja melakukan maksiat. Saya juga terlihat di airport di mana ada seorang pekerja kedai wanita yang tidak menutup aurat tetapi apabila masuk waktu asar, dia mencapai telekungnya dan bersolat di belakang kaunter kedai tersebut. Saya kagum kerana dia tidak malu untuk menunaikan kewajipannya meskipun orang lain boleh melihatnya, akan tetapi saya juga hairan mengapa dia tidak bertudung kerana dia kelihatan seperti seorang yang menjaga agamanya.
Pembebasan akidah
Masyarakat Indonesia juga ibarat orang Malaysia, mereka turut mempercayai unsur mistik dan khurafat, malahan mungkin ramai bersetuju bahawa di sini jauh lebih hebat lagi kepercayaan sedemikian. Hal ini sehinggakan agama itu diadun dengan perkara mistik sehingga sesetengahnya dianggap sebagai halal meskipun perkara tersebut melibatkan persoalan akidah.
Semalam saya sempat menonton rancangan di TV sini yang menunjukkan seorang lebai yang boleh berkomunikasi dengan jin melalui perantaraan orang yang dirasuk oleh jin tersebut. Yang lucunya, jin itu sekadar memberi informasi umum yang diketahui oleh semua orang, contohnya jin itu menceritakan bahawa dia mengganggu manusia kerana sudah diberi lesen oleh Tuhan, malahan usia mereka juga dipanjangkan. Akan tetapi mereka sendiri mengatakan orang yang tidak boleh diganggu adalah mereka yang bertakwa kepada Allah! Bukankan itu lucu? Jin yang menyesatkan itu pula yang berdakwah! Bayangkanlah rancangan sebegini yang dipertontonkan, maka sampai bila lagi masyarakat Islam hendak maju kerana disibukkan dengan perkara yang tidak memberi manfaat ini.
Di dalam riwayat hidup Nabi SAW yang sampai kepada kita, tidak pula kita melihat Nabi SAW memberi penekanan terhadap persoalan alam hantu dan jin ini. Tidak pula baginda menakutkan umatnya dengan keganasan makhluk jin ini. Ini kerana di dalam al Quran sudahpun menyebut:
"Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakal kepada Tuhan mereka." (Surah An Nahl ayat 99)
Inilah pembebasan akidah daripada unsur-unsur syirik. Sangat menyedihkan apabila sesetengah mereka yang memakai gelaran sebagai ustaz membuat tangkal, azimat, jampi mantera dan membekalkan air bukan-bukan kepada pelanggan mereka seperti air penerang hati sebagainya yang tidak pernah diajarkan melalui al Quran dan Sunnah, perkara sebegini melanggar tatacara kehidupan sebenar yang diajarkan oleh Islam kepada umatnya iaitu berusaha dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT. Sepatutnya pelanggan mereka ini dinasihati agar memperbetulkan kecacatan amalan agama mereka, contohnya jika ada yang tidak solat itu disuruh untuk solat dan sentiasa tawakal. Mereka juga perlu digalakkan agar sentiasa berdoa dan meminta pertolongan dari Allah SWT.
Sekian dahulu coretan saya di pagi ini. Moga yang baik itu memberi manfaat buat kita semua insyaAllah. Wallahualam.


0 comments:
Catat Ulasan