Berzikir atau membaca Al-Quran semasa khutbah jumaat?



1. Berzikir atau membaca Al-Quran semasa khutbah jumaat?
Saya terlihat di masjid dua minggu lepas terdapat jemaah yang berzikir menggunakan tasbih di ketika khutbah jumaat. Perbuatan sebegini menyanggahi sunnah kerana tiada satu nas pun yang membenarkan perbuatan ini ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Rasulullah SAW bersabda:

"Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu "dengarkanlah (khutbah)" padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia."
(HR Bukhari dan Muslim)

Dari hadis di atas menjelaskan betapa pentingnya memberi perhatian kepada khutbah jumaat. Perbuatan menasihati seperti yang dinyatakan di dalam hadis ini pun dilarang sedangkan ia juga merupakan perbuatan yang utama, apatah lagi perbuatan lain yang mungkin boleh mengganggu jemaah lain.

Akan tetapi terdapat ulama yang berpandangan, sekiranya jemaah tidak dapat mendengar khutbah, mungkin kerana duduk jauh dari khatib atau suara khatib terlalu perlahan, maka lebih utama baginya untuk membaca Al-Quran, berselawat, berzikir, atau bertasbih tetapi dengan syarat secara perlahan agar tidak mengganggu jemaah lain.

2. Bagaimana pula dengan orang yang menghulurkan tangan untuk bersalam di ketika khutbah sedang disampaikan?
Terdapat sesetengah orang yang lambat sampai di masjid dan seterusnya melaksanakan solat sunat tahiyatul masjid dan selepas habis solatnya itu, dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan orang di sebelah kanan dan kirinya sedangkan khutbah sedang disampaikan. Perbuatan bersalam itu perlu dielakkan kerana ia tidak wajib malahan memberi perhatian kepada khutbah adalah lebih utama. Ini juga bagi mengelakkan dari mengganggu tumpuan jemaah lain. Rasulullah SAW bersabda:

"Bahawa seorang lelaki melangkah tengkuk orang ramai pada hari Jumaat sedang Nabi SAW ketika itu sedang berkhutbah, lalu baginda SAW berkata: "Wahai si fulan! Duduklah, engkau telah mengganggu orang."
(HR Ibnu Majah, Abu Dawud dll)

Dari hadis ini jelas dapat difahami bahawa mengelakkan dari mengganggu jemaah lain adalah sangat penting.

3. Menderma di tabung derma yang disalurkan di barisan jemaah ketika khutbah.
Perbuatan ini termasuk perbuatan yang sia-sia. Sekali lagi disebutkan bahawa memberi perhatian kepada khutbah adalah perkara yang sangat diutamakan ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa menyentuh batu maka dia telah melakukan sesuatu yang sia-sia."
(HR Muslim)

Mengenai hadis di atas, Imam al-Nawawi berkata: "Daripada hadis di atas difahami bahawa memegang batu dan juga perbuatan sia-sia yang lain adalah ditegah semasa khutbah."

Menderma adalah perbuatan yang sangat mulia kerana umat Islam sangat digalakkan untuk bersedekah. Ia boleh dilakukan sebelum khutbah Jumaat atau selepas menunaikan solat Jumaat. Jika ada tabung derma yang melintas di hadapan anda ketika khutbah disampaikan, adalah lebih baik diabaikan sahaja tabung tersebut kerana dikhuatiri akan sia-sia pahala Jumaat.

4. Terus bangun dan pulang selepas habis solat Jumaat.
Tidak menjadi masalah untuk terus pulang selepas habis solat Jumaat. Adapun sesetengah masyarakat yang berpandangan perbuatan ini tidak beradab kerana tidak berdoa bersama imam, perbuatan ini (berdoa bersama imam) tidak boleh dikira sebagai keutamaan kerana ia tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang dinyatakan di dalam sunnah Nabi SAW. Malahan terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh agar diringankan bacaan surah di ketika solat berjemaah kerana mungkin terdapat jemaah yang ingin cepat kerana ada urusan lain serta jemaah-jemaah yang uzur.

Wallahu a’lam.

----------------------------------------
Rujukan tambahan:
1. http://ustaznaim.blogspot.com/2011/02/kutip-derma-waktu-khutbah.html
2. http://ustaznaim.blogspot.com/2009/06/perbuatan-perbuatan-yang-boleh-dan.html

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © 2010-2012 Pen Intelligi
Blogger Theme by BloggerThemes & newwpthemes
Layout modified by Afiqme Artwork
Sponsored by Internet Entrepreneur