Seseorang yang alim, warak dan ahli agama yang selalu di'refer' oleh masyarakat sebagai 'wali' itu haruslah dinilai dari sudut ilmu agama serta amalnya. Kerana dua perkara ini jugalah yang ditekankan oleh Islam. Sumber ilmu yang boleh disandarkan serta menjadi hujah juga mestilah bersumberkan Al Quran dan Sunnah. Kasyaf atau mimpi hatta mimpi seorang yang sangat alim pun tidak boleh menjadi hujah.
Sejak dari dulu kita biasa mendengar orang mengatakan wali itu boleh terbang, wali itu boleh pergi Mekah berjalan satu hari, wali itu boleh jalan atas air dan bermacam lagi kisah. Atas kejadian-kejadian serta kelebihan sebegini maka mereka diangkat oleh masyarakat. Yang menjadi masalah bukanlah pada diri para wali tersebut, akan tetapi kesannya pada masyarakat itu sendiri. Kesan negatif yang menimpa orang-orang awam yang mendengar perkara sebegini adalah akhirnya mereka akan percaya benda yang bukan-bukan atau lebih teruk lagi meminta benda yang bukan-bukan sehinggakan boleh merosakkan akidah. Seperti ada seorang yang saya kenali yang meletakkan tangkal di pintu kedainya, ketika saya menegur perbuatan ini adalah syirik, dia menjawab: "Tangkal ni pun orang taraf wali yang buat." Logiknya, kalaulah orang yang buat itu bertaraf wali, apakah dia akan melanggar apa yang telahpun ditegah oleh Rasulullah SAW (boleh rujuk di artikel di sini). Dia juga turut menceritakan beberapa tok guru yang dikenalinya yang mampu mengetahui sesuatu perkara yang ghaib. Kepercayaan sebegini juga boleh menjurus kepada kufur. Samalah juga halnya dengan kata-kata: "Roh itu dan ini tak aman." atau "Roh dia ni tak diterima bumi". Padahal perkara-perkara ghaib sebegini telahpun ditegaskan di dalam Al-Quran:
"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, "Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."
(Surah Al-Isra' 17:85)
Firman Allah SWT di dalam surah An-Naml, ayat 65:
"Katakanlah: "Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah."
Bersandarkan ayat ini juga, Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin berkata: "Hukum orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib adalah kafir, kerana ia mendustakan Allah SWT."1
Berbalik kepada isu asal, inilah yang menjadi masalah apabila 'magik' atau elemen mistik dan 'supernatural' menjadi ukuran. Seperti yang pernah saya katakan, kalaulah kita tidak pernah mengenal David Blaine, lalu kita bertemu beliau dalam keadaannya memakai serban, jubah dan kelihatan sebagai seorang yang warak lantas membuat magik-magiknya, apakah atas dasar ini kita akan mengatakan dia seorang wali atau orang alim???
Persepsi begini perlu diubah. Kita perlulah menilai dari sudut ilmu agamanya seperti contoh imam-imam besar seperti Imam Syafie, Malik dan Ahmad bin Hanbal. Malahan ilmu-ilmu mereka ini memberi manfaat buat umat Islam seperti kita sekarang ini.
Wallahu a’lam.
----------------------------------------
1. http://afiqme.blogspot.com/2011/07/jin-tak-mengetahui-perkara-ghaib.html
Bilakah Sultan Menjadi Bayangan Allah Di Bumi?
1 hari yang lalu


0 comments:
Catat Ulasan