Reputasi dan dakwah

Umum mengetahui untuk menjadi seorang pendakwah, ia adalah satu cabaran yang sangat besar apatah lagi di dalam dunia moden hari ini yang sangat mencabar.

Antara cabaran yang ingin saya kupas hari ini adalah mengenai bagaimana reputasi mempengaruhi dakwah seseorang. Tidak kiralah anda sebagai pendakwah secara rasmi atau mungkin di atas tanggungjawab sebagai umat Islam, kita perlulah menyampaikan dakwah seperti memberi teguran, nasihat atau berkongsi ilmu dengan orang lain. Hampir semua umat Islam biasa mendengar sabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat." (HR Ahmad, Bukhari dan Tirmidzi)

Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran, ayat 110:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..."

Berbalik kepada topik hari ini 'Bagaimana reputasi mempengaruhi dakwah seseorang", kita haruslah memandang kenyataan ini di dalam konteks realiti masyarakat hari ini. Yang silapnya sesetengah orang adalah kerana dia meletakkan expectation bahawa orang yang hendak didakwahnya itu juga adalah sama faham atau sama pemikiran dan daya fikir sepertinya. Jika inilah caranya, maka tak perlulah berdakwah lagi kerana orang tersebut dah pun sama seperti kita.

Yang perlu kita fahami sebenarnya adalah dakwah itu sendiri tujuannya adalah untuk ingat memperingati atau berkongsi sesuatu ilmu. Maka tidak pelik jika kebanyakan 'target' dakwah adalah pada orang-orang yang masih tidak mendapat hidayah, jahil atau orang Islam yang tidak mengamalkan ajaran Islam itu sendiri.

Inilah realiti yang perlu kita perbetulkan dalam diri kita sebagai pendakwah dan akibat kurangnya ilmu atau kejahilan seseorang yang ingin kita dakwah itu, maka 'kesabaran' adalah kunci utama di dalam berdakwah. Seterusnya kita perlu meletakkan diri kita di tempat orang yang ingin didakwah itu agar kita lebih memahami perspektif orang yang ingin kita dakwah itu.

Lazimnya, seseorang itu lebih dihormati kerana reputasinya. Usahkan pendakwah, jikalah kita seorang pemain bola, dan tiba-tiba datang seorang budak memberi nasihat tentang cara main yang betul, mungkin kita 50-50 untuk menerima nasihatnya. Tetapi jikalau yang memberi nasihat itu Lionel Messi, mungkin kita tak teragak-teragak untuk terus menerima nasihatnya. Ini adalah kerana reputasinya.

Begitu jugalah situasi yang mungkin terjadi di kalangan kita apabila berdakwah. Malangnya amatlah sedikit sekali masyarakat umum yang memandang kepada ILMU itu terlebih dahulu. Kebanyakkannya akan menghukum berdasarkan reputasi si pencerita atau pendakwah itu tadi. Akan tetapi, percayalah ini adalah suatu perkara yang biasa dan normal.

Baru ini bersembang dengan ibu saya, dia ada memberitahu, ada yang nasihatnya tak nak didengari orang tetapi apabila ada ustaz lain yang tegur orang tersebut baru lah orang tu nak dengar. Begitulah lazimnya masyarakat hari ini. Sangatlah berbeza dengan pencari dan penagih ilmu. Akan tetapi tidaklah adil jika masyarakat umum ini dihukum kerana mungkin pada kebanyakan kalinya adalah kerana salah kita sendiri di dalam kaedah berdakwah. Saya juga biasa melihat ramai pendakwah yang suka MENGHUKUM. Juga tidak mesra masyarakat!

Jika anda menghadapi situasi sebegini, langkah yang terbaik dan yang paling mudah adalah tunjukkan bukti seperti buku atau video ustaz-ustaz yang sudah dikenali ramai. Atau anda sendiri boleh usahakan bagi mencipta reputasi anda sendiri bagi memudahkan tugas dakwah. Ini adalah penting meskipun di dalam kerja-kerja agama sekalipun sebagaimana kita mencari ilmu itu sendiri, pastilah kita merujuk kepada ulama-ulama muktabar dan yang sudah terbukti keilmuannya agar kita mendapat ilmu yang betul. Akhir kata, semoga kita semua mendapat keberkatan dari Allah SWT dan diberi petunjuk ke jalan yang benar. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © 2010-2012 Pen Intelligi
Blogger Theme by BloggerThemes & newwpthemes
Layout modified by Afiqme Artwork
Sponsored by Internet Entrepreneur