Di dalam kerancakan pertandingan-pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan Futsal, memancing hatta pertandingan kanak-kanak sekalipun, umat Islam wajib mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan perkara ini.1. Hukum menyertai pertandingan
Jika pertandingan itu melibatkan yuran penyertaan serta hadiah pertandingan adalah hasil daripada yuran penyertaan tersebut, maka hukumnya adalah HARAM. Oleh itu, adalah lebih baik mengelak dari menyertai pertandingan yang memerlukan anda membayar yuran penyertaan.
Menurut Shaykh Khaalid al-Maajid, dari Universiti Islam Imaam Muhammad ibn Sa’ud: "Hendaklah bebas dari unsur-unsur perjudian, pertaruhan diantara pemain."
Akan tetapi jika yuran penyertaan semata-mata untuk menampung kos asas seperti sewa tempat, upah pengadil dan sebagainya, maka ia tidak menjadi masalah. Tetapi hal ini haruslah dinyatakan oleh pihak penganjur agar menjadi jelas dan tidak disalah fahami dengan menggunakan wang yuran penyertaan sebagai hadiah perlawanan.
Juga perlulah diketahui, meskipun para peserta pertandingan bersetuju wang penyertaan digunakan sebagai hadiah pertandingan, akan tetapi ia masih termasuk di dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).1
Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."
(Surah al-Maidah: 90)
2. Hukum memberi hadiah
Jumhur ulama mengharuskan pemberian hadiah. Hadiah boleh menjadi pemangkin agar peserta meletakkan usaha dengan bersungguh-sungguh. Akan tetapi ada beberapa syarat hadiah yang perlu dipatuhi seperti:
- Hadiah bukanlah dari sumber yang haram seperti syarikat arak dan judi.
- Hadiah bukanlah dari sumber pertaruhan seperti yang dinyatakan di atas.
Sebaiknya, hadiah disediakan oleh pihak yang tidak terlibat dengan pertandingan.
Wallahu a’lam.
----------------------------------------
Rujukan:
1. http://halaqah.net/v10/index.php?topic=7834.0
2. http://www.bicaramuslim.com/bicara7/viewtopic.php?f=11&t=7504

2 comments:
contoh pertandingan yang tidak boleh disertai,ape yer..asif..ana tidak tahu
pertandingan yang mengandungi unsur pertaruhan seperti yang dinyatakan di artikel ini ... contohnya jika ada pertandingan futsal yang menuntut yuran penyertaan sebanyak rm100 dan kemudian melalui wang ini juga digunakan sebagai hadiah kepada pemenang. ;)
Catat Ulasan