
Kita biasa mendengar persepsi masyarakat yang mana jika dilihatnya seorang yang kelihatan alim atau rupa macam ustaz, maka sebilangan masyarakat akan beranggapan orang sebegini hanya beribadat sepanjang masa atau paling tidak pun berzikir je satu hari. Kaki masjid, tak ponteng kuliah agama dan berbagai lagi tanggapan kepadanya.
Akan tetapi ada juga orang yang kelihatan alim ini yang memang bersikap sedemikian. Ia menganggap hal selain ibadah khusus yang dilakukannya adalah tidak penting. Ia tidak cuba untuk memajukan dirinya sendiri serta menyempitkan pemikirannya sehinggakan akalnya berfikir bahawa orang-orang yang disibukkan oleh pekerjaan dunia ini adalah jahil.
Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang kita ketahui bukan sahaja seorang yang terbaik dan bertakwa, malahan dari segi duniawi juga baginda terkenal sebagai peniaga yang jujur dan bijak sehingga berjaya membawa keuntungan kepada Khadijah r.a. dengan izin Allah SWT. Baginda juga merupakan seorang pemimpin yang adil serta panglima perang yang hebat. Para sahabat r.a. juga sebegitu, mereka bukanlah sepanjang masa beribadat semata-mata, mereka berkahwin, berkerjaya serta di dalam masa yang sama bermasyarakat.
Berbalik kepada keadaan masyarakat hari ini, mungkin juga situasi hari ini adalah di antara kesan sekularisme yang telah menular di dalam negara ini sehinggakan kebanyakan mereka merasakan orang-orang yang bersongkok atau berserban atau berjanggut jambang itu dirasakan tidak mampu untuk menjadi engineer, boss, menteri, pekerja teknikal dan sebagainya. Kebanyakan beranggapan orang sebegini layak duduk di masjid sahaja atau menjadi guru sekolah agama atau imam masjid. Hal ini menjadi lebih teruk apabila fenomena yang diceritakan tadi (orang yang menghabiskan masa beribadah semata-mata) turut berlaku dan berleluasa di dalam masyarakat. Maka mereka dilihat tidak memberi faedah di dalam urusan duniawi selain dipanggil untuk membacakan doa untuk upacara tertentu.
Akibat daripada ini berlakulah kecuaian serta kelalaian di dalam urusan duniawi. Ini kerana apabila ia tidak dipandu oleh hukum syarak dan dibantu oleh orang-orang yang mendalami ilmu agama, maka terjadilah penindasan, kezaliman, riba dan sebagainya. Sekaligus menjadikan orang-orang awam ini semakin jauh dari agama Islam akibat daripada tidak mengetahui, bermuamalat dan sebagainya dengan cara-cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.
Sesebuah sistem itu boleh menjadi hebat, adil, gemilang dan maju dengan Islam. Syaratnya ia haruslah dipandu atau dibimbing oleh orang-orang yang mengetahui perihal agama serta yang beramal dengan apa yang diketahuinya. Untuk merealisasikan hal ini, maka kedua belah pihak perlulah memainkan peranan masing-masing. Yang paling utama adalah mengubah mentaliti terlebih dahulu.
Memahami agama Islam adalah sangat penting. Islam menekankan keadilan agar kita tidak menzalimi dan menindas orang lain. Islam juga bersifat syumul iaitu komprehensif atau merangkumi semua aspek kehidupan. Maka tiada perkara yang tidak perlu kita rujuk pada Islam.
Mungkin apabila mengamalkan sistem Islam di dalam sesebuah pentadbiran syarikat dilihat lambat untung, akan tetapi pastinya kita akan sedar ia tidak menindas serta adil buat semua yang terlibat. Hanyalah dengan meninggalkan cara Islam makanya kita terdedah dengan riba, rasuah dan berbagai lagi perkara haram dan mungkar. Sekaligus melenyapkan keadilan yang mana kadang kala kita melenting apabila seseorang itu tidak berlaku adil pada kita. Maka kita juga wajarlah bersikap adil.
Wallahu a’lam.

0 comments:
Catat Ulasan