Cuti mid semester di kolej selama seminggu ini saya manfaatkan dengan trip ke Pulau Pinang. Trip selama 4 hari sejak dari hari Isnin lalu memberi peluang kepada saya untuk membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah serta khazanah warisan Islam yang terdapat di sekitar Pulau Pinang.
Pulau Pinang sebenarnya adalah suatu kota yang menarik dari segi sejarah tempatnya serta sejarah pengembangan agama di negeri ini. Terdapat ramai tokoh Islam yang pernah menetap serta menyumbang kepada pengembangan agama di negeri ini.
Masjid Kapitan Kling
Di antara masjid yang sempat saya kunjungi adalah Masjid Kapitan Kling. Masjid ini telah dibina pada tahun 1801 oleh tentera Syarikat Hindia Timur. Seorang ketua kaum India Muslim, iaitu Caudeer Mohudeen yang juga dikenali sebagai Kapitan Kling telah memohon tanah dan mendapat kelulusan bagi tanah seluas 18 ekar pada November 1801 bagi pembinaan masjid. Selepas kematian Caudeer Mohudeen pada tahun 1834, tanah itu tidak lagi diiktiraf sebagai sebahagian pemberian asal. Jalan dan rumah awam di sekeliling masjid mengurangkan keluasan tanah kepada hanya 8 ekar menjelang 1916.
Masjid Kapitan Kling di waktu malam.
Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh
Masjid ini juga adalah di antara masjid bersejarah di Pulau Pinang. Ia dibina pada tahun 1808. Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.
Di hadapan masjid.
Senibina lama.
Masjid Terapung Pulau Pinang
Masjid ini terletak di Tanjung Bunga. Ia dibina bagi menggantikan masjid yang berdekatan dengannya yang telah ditimpa bencana tsunami. Rekaan masjid berharga RM15 juta ini adalah gabungan seni bina tempatan dan Timur Tengah. Keindahan senibinanya berkonsepkan bentuk mutiara selaras dengan jolokan sebagai 'Mutiara Timur'.
Saya juga berkesempatan melawat Muzium USM (Universiti Sains Malaysia), Muzium Negeri dan Muzium Islam Pulau Pinang (Syed Al-Attas Mansion). Terlalu banyak informasi mengenai perkembangan agama Islam yang boleh didapati di ketiga-tiga muzium ini. Malangnya saya tidak dibenarkan untuk mengambil gambar di dalam Muzium Negeri.






Tokoh-tokoh Islam di Pulau Pinang
Di antara tokoh-tokoh Islam di Pulau Pinang adalah seperti Sheikh Omar Basheer dan Tuan Haji Abdullah Fahim yang juga merupakan datuk kepada Bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Akan tetapi, saya tidak berkesempatan untuk mendalami lebih dalam mengenai tokoh-tokoh agama ini, mengenai perihal sumbangan serta pengajian mereka.
Pulau Pinang dan Seberang Perai juga boleh dianggap sebagai Daerah Ulama kerana adanya kegiatan pondok (madrasah, pengajian kitab kuning etc) di kedua-dua kawasan ini sejak masa lalu. Malah di kedua-dua kawasan ini muncul ulama-ulama penting yang meninggalkan pengaruh yang besar terhadap perkembangan intelektual dan kepemimpinan Islam di negara ini sejak abad ke-19.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa tempat yang tidak sempat saya lawati kerana terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur.
Sebelum saya mengakhiri catatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat saya Wazir Khan yang menjadi pemandu pelancong tak bergaji saya selama saya di Pulau Pinang. Terima kasih di atas kesudian anda membawa saya menjelajah Pulau Pinang. Semoga Allah merahmati anda.
Buat pembaca yang masih belum menjelajah bumi Pulau Pinang, negeri ini adalah antara tempat menarik untuk dilawati!
----------------------------------------
Rujukan:
- http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Kapitan_Keling
- http://pasbukitbendera.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1531&Itemid=1
- http://www.penangmalays.my/bm/index.php?option=com_content&view=article&id=99&Itemid=132
- http://lisanaldin.blogspot.com/2009/11/sheikh-omar-basheer-al-khalidi.html
- Muzium Negeri Pulau Pinang.
- Muzium Islam Pulau Pinang.
- Muzium USM.


0 comments:
Catat Ulasan