Majlis bersanding, memusnahkan atau menghidupkan keberkatan majlis perkahwinan

Masyarakat di Malaysia hari ini masih mengamalkan adat bersanding di hari perkahwinan. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia menjadi suatu kewajipan bagi sesetengah keluarga sehingga ada yang merasakan tidak sempurna perkahwinan tersebut jika tidak diadakan persandingan.

Malangnya, sehingga ke hari ini kita masih dapat melihat banyak pasangan pengantin yang dihiasi melampaui batasan serta disandingkan di pelamin yang gah. Malahan ada pelamin yang menelan kos ribuan.

Berstatuskan 'Raja Sehari' tidak memberi lesen kepada pasangan untuk bebas melakukan kemungkaran. Hari ini ramai yang beralasan, "Ah! Tak mengapa satu hari ja!". Akan tetapi ingatlah bagi sang isteri yang dipertontonkan kepada ratusan atau mungkin ribuan orang, apatah lagi jika terdedah auratnya atau dia berpakaian tetapi seperti telanjang, maka bertambah-tambahlah dosa kedua-duanya. Ia juga mungkin akan memusnahkan keberkatan majlis perkahwinan tersebut.

Mengadakan walimatul urus adalah sunnah. Sangat dituntut di dalam masyarakat Islam. Akan tetapi hilanglah keberkatannya apabila dicampur adukkan dengan maksiat bersamanya.

Adat merenjis pula menghampiri daerah khurafat kerana perlulah diketahui asal usulnya adalah kerana mencari keberkatan sebagaimana amalan masyarakat Hindu. Perihal sebegini membuatkan pelakunya menghampiri kepada syirik jika tidak diperbetulkan niatnya. Meminta berkat serta rahmat itu hanyalah kepada Allah SWT semata-mata sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Ikhlas 112, ayat 2:

اللَّهُ الصَّمَدُ
Maksudnya: "Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu."

Di dalam surah Al-Fatihah yang kita baca setiap hari di dalam solat juga turut dinyatakan di dalam ayat 5:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan."

Konsep persandingan hari ini juga tidak dapat lari dari bertunjangkan 'kemegahan'. Wang ringgit puluhan ribu menjadi kertas-kertas kosong yang dibuang begitu sahaja semata-mata untuk menjayakan persandingan ini. Akhirnya, ramai yang kecundang ke dalam lubuk hutang sehinggakan anaknya sudah besar pun masih belum habis lagi hutangnya. Inilah pembaziran yang sangat popular pada masa ini!

Anak gadis moden hari ini juga ada yang bertuhankan hawa nafsu sehingga membiarkan nafsunya memandu akalnya. Hendak dikatakan jahil, mereka berpendidikan tinggi. Tetapi inilah akibat tidak hidup bersama Islam, tidak tidur bersama Islam dan tidak bangun bersama Islam.

Syeikh Abdullah bin Jibrin (bekas anggota ulama' senior) pernah menyatakan: “Tidak boleh pengantin lelaki dan perempuan disandingkan di depan kaum perempuan sebab demikian itu termasuk bukti hilangnya rasa malu dan mengikut tradisi orang-orang jahil serta jahat, dan sewajarnya pengantin itu malu menampakkan diri di depan orang ramai, bagaimana dengan duduk bersanding di tengah-tengah kaum wanita, apa tidak lebih malu lagi?”1

Adapun persandingan yang dibenarkan adalah jika dilakukan di hadapan mahram serta bersederhana, tiada unsur riak dan bongkak.

Akhir kata, semoga Allah SWT memberi petunjuk dan rahmatNya kepada kita insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Artikel berkaitan:
  1. Bidaah dalam Pesta Perkahwinan
  2. Hukum lelaki memakai inai

----------------------------------------
Rujukan:
1. Lihat m/s 78 '300 Soal Jawab Nikah & Kahwin'.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © 2010-2012 Pen Intelligi
Blogger Theme by BloggerThemes & newwpthemes
Layout modified by Afiqme Artwork
Sponsored by Internet Entrepreneur