Sambungan dari 'Ilmu tasawwuf dan pengaruh falsafah Yunani pt.4'
Jika sebelum kejatuhan Baghdad tasawwuf falsafah dipengaruhi oleh fahaman Syiah, maka selepas kejatuhan Baghdad sekali lagi terdapat kaitan yang erat di antara tasawwuf tarekat dengan Syiah. Bahkan seperti yang dikemukakan oleh Henry Corbin, selepas penyerbuan Mongol, puak Ismailiyah bergerak secara rahsia dan muncul secara rahsia dan muncul dalam kelompok-kelompok sufi. Jika sebelumnya sejarah Ismailiyah memang dikenali kerana sifat politiknya yang tegas, maka selepas itu sejarahnya kurang diketahui kerana ia bergerak secara rahsia tanpa bersifat politik. Oleh kerana puak Ismailiyah itu sebenarnya adalah al-Batiniyah, maka boleh dikatakan bahawa perkembangan tasawwuf tarekat pada zaman selepas kejatuhan Baghdad sudah diresapi oleh fahaman al-Batiniyah. Pendapat ini selaras dengan kenyataan Dr. Abdulfatah Harun Ibrahim bahawa golongan al-Batiniyah yang mula bergerak pada zaman al-Makmun oleh sekumpulan orang Majusi dan orang Yahudi telah menyusup ke dalam tasawwuf Islam untuk meruntuhkan Islam dari dalam.
Kenyataan bahawa daam peringkat ini terdapat hubungan yang erat antara tasawwuf tarekat dengan fahaman Syiah, telah terbukti melalui konsep salasilah, rijal al-ghaib, Imam al-Mahdi dan juga tentang wali dan keramat. Tentang konsep salasilah ini, boleh dikatakan telah menjadi sifat bagi pendukung tasawwuf tarekat untuk menghubungkan syeikh-syeikhnya dengan Ali ibn Abi Talib r.a., imam pertama bagi golongan Syiah.
Tentang konsep rijal al-ghaib, kepercayaan ini timbul setelah golongan Syiah gagal merebut kekuasaan daripada Kerajaan Bani Umayyah, lalu mereka pun membentuk kerajaan batin sementara menunggu kedatangan Imam al-Mahdi. Sebagai sebuah kerajaan rohani, ia juga mempunyai hirarki kepimpinannya menurut susunan tertentu, seperti terdapatnya orang-orang yang disebut Qutub, Ghawth, Abdal, Awtad, Nujaba' dan sebagainya. Kepercayaan yang menjadi pegangan pendukung tasawwuf tarekat ini juga bertolak daripada fahaman Syiah tentang imam yang ghaib. Menurut Prof. S.H. Nasr:
"In speaking of the Sufi master in the Persian context one must remember the role of the Twelve Imam, who is the Hidden Imam, both in Shi'ism and in Sufism as it exist in the Shi'ite world. In as much as the Imam, although in concealment, is alive and is the spiritual axis of the world, he is the pole (Qutb) with whom all Sufi masters are inwardly connected. He is to Shi'ism what the supreme pole is to Sufism in its Sunni context. [S.H. Nasr, 1980:54]
Bagi Syiah, konsep tentang perantaraan antara manusia dengan Allah, serta tentang kedatangan penyelamat yang dinanti-nantikan adalah sangat penting sekali. Oleh kerana itu setelah Nabi Muhammad SAW wafat, harus ada imam-imam yang bertindak sebagai orang perantara manusia dengan Allah SWT dari generasi sesudahnya. Kemudian harus pula ada seorang penyelamat atau seorang al-Mahdi yang akan menyelamatkan dunia daripada kesesatan dan dialah imam kedua belas yang masih berada di alam ghaib.
Jika kepercayaan tentang kewujudan rijal al-ghaib atau manusia halus ituu dikatakan berasal daripada kepercayaan Syiah, maka kepercayaan tentang kedatangan Imam al-Mahdi pula memang terkenal juga di kalangan kaum Sunni kerana ada dalil-dalil daripada hadis-hadis yang sahih. Walau bagaimanapun, dalam sejarah, cuma golongan Syiah yang paling banyak berpegang kepadanya dan menjadikannya sebagai pegangan terpenting. Menurut al-Maududi:
"A close scrutiny of the reporters of such traditions has shown that most of them were the Shi'ites." [al-Maududi, 1979:147]
Faktor yang menyebabkan golongan Syiah menjadikan Imam al-Mahdi sebagai satu keyakinan adalah berkait rapat dengan suasana politik sezaman. Oleh kerana suasana politik tidak dapat memenuhi aspirasi batin masyarakat, maka di kalangan penganut agama Islam telah berkembang konsep 'Messianisme' secara meluas, sama seperti doktrin kedatangan Jesus (Nabi Isa a.s.) bagi orang Kristian. Apabila konsep 'Messianisme' ini diterima secara mutlak, nescaya timbullah sikap putus asa. Jika bagi kalangan Sunni tokoh Imam al-Mahdi itu hanya akan timbul pada akhir zaman, sebaliknya, bagi kalangan Syiah pula Imam al-Mahdi itu ialah imam mereka sendiri yang telah pun datang, tetapi telah ghaib dan bersembunyi dan akan kembali semula. Seperti yang telah disebutkan, konsep adanya makhluk ghaib itu juga menjadi kepercayaan bagi para pendukung tasawwuf tarekat.
bersambung...
..................................................................................
Dipetik dan diedit daripada buku Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah bertajuk 'Pemikiran Islam Klasik: Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid'. 2004. Terbitan Al-Hidayah Publishers.
Ilmu tasawwuf dan pengaruh falsafah Yunani pt.5
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Peluang dapatkan buku PERCUMA! Buku Permasalahan Umat Islam Hari ini. KLIK DI SINI!
Ilmu tasawwuf dan pengaruh falsafah Yunani pt.4
Sambungan dari 'Ilmu tasawwuf dan pengaruh falsafah Yunani pt.3'
Dalam suasana pertentangan fikiran yang hebat di antara golongan fuqaha dan golongan sufi, munculnya Imam al-Ghazali rahimahullah (w. 505H) yang terpaksa menghadapi cabaran yang bukan sahaja mengancam kestabilan negara, bahkan mengancam aqidah umat Islam. Al-Ghazali telah menulis beberapa buah buku untuk mendedahkan kepalsuan ajaran Batiniyah dan Ismailiyah. Kitab beliau yang terpenting adalah 'al-Mustazhiri fi Raddi 'ala al-Batiniyah'. Bagi mendamaikan pertentangan antara para fuqaha dan para sufi, al-Ghazali telah menulis sebuah kitab yang merupakan karya klasiknya iaitu 'Ihya' Ulumuddin'. Adapun terhadap golongan falsafah, beliau telah menulis kitab bertajuk 'Tahafut al-Falasifah' untuk mendedahkan kekeliruan dan kesesatan mereka khususnya terhadap al-Farabi dan ibn Sina yang dituduhnya sebagai kafir kerana mempercayai alam ini sebagai qadim, tidak ada kebangkitan jasmani dan Tuhan tidak mengetahui persoalan-persoalan yang kecil.
Kecaman al-Ghazali terhadap puak Batiniyah telah dijawab dengan keras oleh tokoh Ismailiyah yang kelima iaitu Ali ibn Muhammad ibn al-Walid (w. 612H) melalui kitabnya bertajuk 'Damigh al-Batil wa Haft al-Munazil'. Sungguhpun al-Ghazali menggelarkan golongan Ismailiyah sebagai golongan al-Batiniyah, namun mereka menerimanya dengan perasaan bangga. Mengenai usaha mendamaikan pertelingkahan dua golongan antara fuqaha dan sufi pula, telah diakui bahawa usaha al-Ghazali itu telah berjaya. Akhirnya tentang kecamannya terhadap golongan falsafah, sungguhpun dari segi zahirnya kelihatan ilmu falsafah semacam tidak berpengaruh lagi kecuali di Sepanyol tetapi secara sulit ia tetap hidup di bawah tasawwuf falsafah (speculative sufism).
Jika dinilai peranan dan sumbangannya dalam bidang tasawwuf , memanglah al-Ghazali merupakan tokoh terbesar yang berjaya membawa tasawwuf Islam kembali ke pangkal jalan. Walau bagaimanapun, semuanya itu masih tidak dapat menghalang berlakunya penyelewengan-penyelewengan lain dalam tasawwuf dan tarekat.
Kemudian tasawwuf falsafah mencapai zaman kemuncaknya. Antara tokoh yang bertanggungjawab mengembangkan tasawwuf ini ialah Muhyiddin ibn Arabi (w. 638H) dan Umar ibn al-Farid (w. 632H). Perkembangannya juga berkaitan secara tidak langsung dengan peranan al-Ghazali. Kecamannya terhadap kaum falsafah menyebabkan para pendukungnya beralih kepada tasawwuf.
Ibn Arabi telah membawa aliran tasawwuf falsafah ke tahap yang tinggi, sehinggakan perkembangan yang berlaku selepasnya hanya sekadar mengulang atau mengubahsuai sesuatu yang sudah dibahasnya. Jika sebelum al-Ghazali tasawwuf pantheisme bernaung di bawah jubah al-Ittihad atau al-Hulul, maka di tangan ibn Arabi tasawwuf pantheisme dikenali sebagai Wahdatul Wujud. Fahaman ini menuntut bahawa segala maujud itu satu belaka. Maksudnya yang wujud hanyalah Allah belaka, sedangkan selain-Nya adalah tidak ada. Ataupun kalau pun ada hanyalah sebagai 'mumkin al-wujud'. Ini bertepatan seperti yang diperkatakan oleh ibn Arabi dalam kitabnya, 'Futuhat al-Makiyyat', bahawa tiada yang wujud selain Allah sahaja.
Dengan ajarannya itu, ibn Arabi telah membawa tasawwuf Islam jauh menyimpang daripada cara dan amalan generasi pertama, dan dengan itu merupakan satu ancaman besar terhadap tasawwuf murni. Apalagi bila tasawwuf pantheism ini sudah menguasai moral masyarakat, maka implikasinya masyarakat itu sudah pasti akan menjadi lemah. Demikianlah yang berlaku apabila tasawwuf ini mempengaruhi masyarakat massa, ia menjadi faktor dalaman yang membawa keruntuhan umat Islam sebelum serangan Mongol ke atas Baghdad pada tahun 1258 (655H).
Dengan kejatuhan Baghdad, perkembangan tasawwuf Islam mengalami peringkat ketiga dalam sejarahnya dengan munculnya tarekat-tarekat. Pada mulanya tarekat hanyalah satu cara ibadah longgar di mana para penganutnya bebas mengamalkannya tanpa terikat kepada guru atau sesuatu sistem tertentu. Tetapi menjelang akhir abad ke-5 Hijrah, lahirlah kumpulan-kumpulan tasawwuf yang mempunyai pemimpin (Syeikh), susunan dan bentuk tertentu. Kemudian pada abad ke-6 dan ke-8 barulah terbentuknya tarekat-tarekat sufi seperti yang dikenali sekarang, iaitu suatu cara ibadah yang dihayati oleh seseorang dalam lingkungan kumpulan tertentu yang dipimpin oleh seorang ketua atau syeikh.
bersambung... 'Ilmu tasawwuf dan pengaruh falsafah Yunani pt.5'

Subscribe to:
Posts (Atom)